Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wakil DAP, BERSATU tidak sertai perjanjian isytihar harta Invoke
Diterbitkan:  Nov 19, 2017 9:46 PM
Dikemaskini: 5:13 PM

Wakil daripada DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak sertai program tandatangan akujanji penawaran dana pilihan raya Invoke yang diadakan di program di Subang Jaya, Selangor malam ini.

Invoke yang merupakan badan penyelidikan dasar PKR menawarkan dana pilihan raya umum (PRU) kepada calon dengan syarat calon berkenaan wajib mengisytihar harta.

Daripada 30 yang terlibat dengan perjanjian penawaran yang mewajibkan pengisytiharan harta itu, 20 wakil adalah daripada PKR, lapan daripada Parti Amanah Negara (AMANAH) dan seorang daripada PAS.

Wakil tunggal PAS itu adalah Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

Pengasas Invoke Rafizi Ramli berkata, DAP bukan tumpuan kempen Invoke itu yang menyasarkan pengundi atas pagar di kerusi yang dimenangi BN dengan majoriti kecil dalam PRU lalu.

"Sukar untuk meyakinkan orang ramai untuk tampil dan menyertai kempen sebagai sukarelawan, jika kita (terlibat dalam semua kerusi) sebab tak banyak keperluan untuk bantu Petaling Jaya Utara (misalnya).

"Sama seperti di (parlimen) Pandan. Tak ada satu sen pun diberikan kepada Pandan kerana ini bukan kerusi marjinal. Jadi, kita tidak bantu DAP langsung," kata Rafizi ketika ditanya wartawan.

Petaling Jaya Utara merupakan kerusi perlimen yang dimenangi Tony Pua (DAP) dengan majoriti besar 44,672 undi pada PRU lalu, sementara Rafizi menang di Pandan dengan majoriti 26,729 undi.

Sementara bagi BERSATU pula, menurut Rafizi parti itu telah dimaklumkan berkenaan inisiatif Invoke namun berdepan beberapa masalah.

Rafizi berkata, dengan hanya satu anggota parlimen dan satu kerusi DUN, BERSATU tidak mempunyai jumlah wakil yang ramai seperti PKR dan AMANAH.

Selain itu, menurut Rafizi, BERSATU juga tidak mempunyai 'kerusi tradisi' seperti parti kompenen HARAPAN yang lain dan rundingan kerusi dalam pakatan itu masih sedang berlangsung.

"Majoriti calon hari ini adalah yang menyandang jawatan tertentu dan kerusi mereka sudah selesai rundingan, jadi tidak perlu risau tentang hal-hal yang belum selesai," katanya.

Rafizi juga berkata, BERSATU perlukan masa untuk buat keputusan dan kemungkinan akan ada calon lain yang akan menyertai inisiatif Invoke itu dalam masa akan datang. 

Beliau juga yakin BERSATU akan menyertai inisiatif itu setelah selesai rundingan kerusi.

Perkara ini akan memberi tekanan kepada calon yang mungkin bertanding untuk menyertai inisiatif Invoke, katanya.

Menurut perjanjian Invoke itu, calon yang melanggar perjanjian termasuk mengkhianati Pakatan Harapan (HARAPAN) boleh didenda sehingga RM20 juta.

Presiden AMANAH Mohamad Sabu turut disenaraikan menyertai perjanjian itu. Bagaimanapun, beliau tidak dapat datang hadir program itu malam tadi kerana berada di luar negara.

Setiausa Invoke memberi jaminan Mohamad akan menandatangani perjanjian itu kemudian.

Berikut merupakan senarai yang bersetuju dengan penawaran itu:

PKR

Saifuddin Nasution Ismail – Setiausaha Agung PKR
Johari Abdul – Anggota Parlimen Sungai Petani
G Manivanan – Anggota Parlimen Kapar
Fuziah Salleh - Anggota Parlimen Kuantan
Admiral (R) Imran Abdul Hamid - Anggota Parlimen Lumut
Wong Chen - Anggota Parlimen Kelana Jaya
Abdullah Sani Abdu Hamid - Anggota Parlimen Hulu Langat
Rodziah Ismail – ADUN Batu Tiga
Azan Ismail – ADUN Bandar
Aminuddin Harun - ADUN Sikamat
Dr Idris Ahmad - ADUN Ijok
Ooi Tze Min - ADUN Bakar Arang
Lee Chean Chung - ADUN Semambu
Tan Kar Hing - ADUN Simpang Pulai
Tan Yee Kew – Bendahari Agung PKR
Syed Ibrahim Syed Noh – Ketua Penerangan PKR
Maktar Shapee – ADUN Sungai Bakap
Nik Nazmi Nik Ahmad – Ketua Pemuda PKR
Chang Lih Kang – ADUN Teja
Kesavan Subramaniam – ADUN Hutan Melintang

 

AMANAH
Mohamad Sabu – Presiden AMANAH
Salahuddin Ayub – Timbalan Presiden Amanah
Khalid Samad – Ketua Pengarah Komunikasi AMANAH
Mujahid Yusof Rawa – Naib Presiden AMANAH
Hatta Ramli – Pengarah Pilihanraya AMANAH
Saari Sungib – ADUN Hulu Kelang
Hasnul Baharuddin – ADUN Morib
Ismail Salleh – Bekas ADUN Alor Mengkudu
Dzulkefly Ahmad – Pengarah Strategi AMANAH

 

PAS

Mahfuz Omar – Anggota Parlimen Pokok Sena

 

Sementara itu, Mahfuz berkata beliau mengisytihar harta dan menyertai inisiatif Invoke itu bukan kerana beliau calon yang sah bakal bertanding namun merasakan tanggungjawab sebagai anggota parlimen.

"Sama ada saya calon (dalam PRU akan datang) atau tidak akan ditentukan kemudian. Apa yang penting sekarang adalah sebagai anggota parlimen, saya perlu tunjukkan ketelusan kepada rakyat," katanya.

Mahfuz berkata, beliau tidak memaklumkan partinya tentang hasratnya menandatangani perjanjian dengan Invoke untuk mengisytihar harta.

Ditanya jika tidak bimbang tentang tindakan daripada partinya, beliau berkata beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan dan hanya menunjukkan bahawa beliau tidak takut dipersoalkan oleh rakyat.

Selain, Mohamad Sabu, antara yang tidak hadir adalah Dzulkefly, Chang, Nik Nazmi, dan Kesavan.

Rafizi berkata, Chang, Nik Nazmi dan Kesavan sudah menandatangani dan menyerahkan akujanji mereka namun tidak dapat hadir program malam ini kerana perubahan masa di saat-saat akhir.

Program itu dijadualkan diadakan di Bangsar semalam namun pemilik tempat program menarik diri.

Dzulkefly pula, menurut Rafizi masih sedang dalam proses akhir pengisytiharan harta.

[Berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS