Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid akan runding untuk rawatan Anwar sehingga sembuh

Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan berunding dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Penjara untuk memberi rawatan selepas pembedahan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga sembuh.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut berkata pihaknya telah membenarkan Anwar memilih doktor pilihannya bagi memberi rawatan sepanjang pembedahan dan rawatan selepas itu.

“Datuk Seri Anwar sakit bahu kanan sejak sekian lama dan apabila berlaku kemalangan kenderaan bawa beliau, maka kesakitan memuncak, maka jabatan penjara minta Datuk Seri Anwar terima rawatan segera.

“Kerajaan (juga) setuju untuk Datuk Seri Anwar pilih doktor terbaik dan peralatan digunakan dan rawatan selepas operasi itu merupakan sesuatu diminta oleh keluarga (Anwar).

“Saya akan berunding dengan KKM dan Jabatan Penjara untuk beri rawatan pasca operasi sehingga sembuh sepenuhnya,” Zahid berkata demikian ketika ditemui di IM4U Sentral di Puchong hari ini.

Ziarah sebab kemanusiaan, rasa simpati

Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai permintaan keluarga Anwar untuk membiarkan beliau berada di hospital 'selama mana yang diperlukan'.

Anggota Parlimen Bagan Datoh itu bagaimanapun tidak menjawab secara langsung sama ada Ketua Umum Pakatan Harapan (HARAPAN) itu akan terus mendapatkan rawatan di penjara seperti yang diminta keluarganya.

Zahid dan isterinya Datin Seri Hamidah Khamis hari ini menziarahi Anwar yang sedang berehat selepas pembedahan.

Menurut Zahid lawatan itu atas sebab kemanusiaan dan rasa simpati terhadap bekas ketua pembangkang itu yang sedang ditimpa musibah dan bukan kerana politik semata.

“Saya tak pernah rancang melawat beliau tapi saya terpanggil apabila Perdana Menteri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah lakukan ziarah.

“Kami mengetepikan perbezaan politik atas rasa kemanusiaan ini yang kami terjemahkan, bukan hari ini sahaja, kita lihat sendiri apabila saya dan PM ke Pulau Pinang ketika banjir dulu,” katanya.

Menurut Zahid, Anwar sebagai pemimpin berjiwa besar dan keluarganya menerima dengan baik lawatan beliau dan Najib.

“Beliau (Anwar) berjiwa besar menerima kunjungan PM dan Datin Seri Rosmah dan hari ini saya dan isteri saya diterima kunjungan dengan hati yang besar. Saya tahu dari bahasa badannya menerima kami dengan baik,” kata beliau.

Foto lawatan Zahid bersama isteri di sisi Anwar yang berbaring di katil hospital dimuat naik akaun Twitter Zahid sekitar jam 4.30 petang tadi.

Turut kelihatan dalam foto ialah anak perempuan Anwar, Nurul Nuha dan Nurul Ilham.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor melawat Anwar ketika ditemani isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga ketua pembangkang dan Presiden PKR.

Anak lelaki Anwar, Muhamad Ihsan kemudian mengeluarkan kenyataan berterima kasih kepada perdana menteri atas lawatan itu.

Anwar yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun kerana kesalahan liwat kali kedua menjalani pembedahan di bahu kanan selepas cedera dalam kemalangan ketika berada dalam kenderaan Jabatan Penjara Malaysia.

Lawatan Najib itu dipandang sinis pengguna Twitter awal hari ini kerana dakwaan dan sabitan liwat itu didakwa penyokong pembangkang dan pengkritik sebagai berunsur politik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS