Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Impian budak hidapi kanser naik BMW putih ditunaikan
Diterbitkan:  Nov 18, 2017 3:06 PM
Dikemaskini: 7:08 AM

Hasrat seorang budak lelaki yang menghidap kanser otak tahap empat untuk menaiki kereta mewah BMW berwarna putih ditunaikan Sime Darby Auto Bavaria Sdn Bhd hari ini.

Muhammad Hafizudin Alias, 11, kelihatan riang dan ceria apabila diberi peluang menaiki kereta BMW i8, walaupun keadaannya lemah dan perlu didukung untuk menaiki kereta terbabit.

Dia terlantar sejak lebih sebulan lepas dan tidak lagi berupaya untuk bertutur selain makan dan minum menerusi tiub khas.

Bapanya, Alias Saleh, 43, berkata anak ketiganya daripada empat beradik itu melahirkan hasrat menaiki kereta BMW berwarna putih selepas melihat kereta berkenaan semasa menyertai hari keluarga anak-anak pesakit kanser di Pantai Merdeka, 30 Sept lepas.

"Sewaktu tiba di Tol Taman Sejati, kanak-kanak pesakit kanser berpeluang menaiki pelbagai jenis kereta BMW dari plaza tol menuju ke Pantai Merdeka, namun kereta putih yang ingin dinaikinya sudah penuh menyebabkan dia terpaksa menaiki kereta jenis lain yang berwarna putih.

"Sejak itu, dia agak kecewa dan muram sehinggalah hari ini apabila hasratnya itu ditunaikan...dia kelihatan ceria," katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Baru, Sungai Lalang di Sungai Petani.

Alias dan isteri, Husna Naut, 43, bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada Sime Darby Auto Bavaria Sdn Bhd yang sudi menyempurnakan impian anaknya itu.

"Hafizuddin memang berminat dengan kereta malah turut mengumpul lebih 20 model kereta berjenama sebagai koleksi. Peluang yang dia dapat hari ini diharap dapat menguatkan semangatnya untuk melawan rasa sakit yang dirasainya," katanya.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Sime Darby Auto Bavaria Yasmin Shaharil berkata selepas melihat status yang dipaparkan seorang sukarelawan, Nor Hashimah Abu Hassan, 31, mengenai hasrat Muhammad Hafizuddin, pihaknya terus menghubungi Nor Hashimah untuk mengatur pertemuan.

"Sime Darby Auto Bavaria berbesar hati untuk mengambil peluang ini bagi menunaikan hasrat Hafizuddin, malah kami turut melancarkan kutipan dana bagi membantu meringankan beban ditanggung dia dan keluarganya.

"Bagi memenuhi impian Hafizuddin, hari ini kami bawa kereta BMW i8, berwarna putih, walaupun berbeza dengan model kereta yang ingin dinaikinya, tetapi kereta ini adalah model terbaharu dengan ciri-ciri futuristik dan diharap memberi pengalaman paling indah dalam hidupnya," katanya.

- Bernama
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS