Wakil rakyat DAP mempersoalkan mengapa 'Datuk Seri' yang didakwa memukul anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) tidak perlu memakai pakaian tahanan lokap ketika dibawa ke mahkamah untuk perintah lanjutan reman, baru-baru ini.
Mereka merujuk Liow Soon Hee, 29, ahli perniagaan yang menjadi perhatian awal bulan ini dan kini didakwa atas tuduhan menyerang anggota tiga anggota RELA dan kesalahan berkaitan dadah.
Dia sebelum ini direman empat hari bagi membantu siasatan.
Anggota Dewan Undangan Negeri Kampung Tunku Lau Weng San menggesa Ketua Polis Negara (IGP) Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memberi penjelasan berhubung "layanan istimewa" itu.
"Mengapa kita perlu beri layanan istimewa kepada Liow dengan (membenarkannya) memakai seragam syarikatnya? Bukankah itu memberi publisiti kepadanya?" katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP Selangor, hari ini.
Ahli politik dan pakaian lokap
Lau berkata anggota polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sentiasa memastikan tahanan memakai seragam lokap berwarna jingga atau ungu ketika dibawa ke mahkamah untuk perintah lanjutan reman.
Sebagai bukti, beliau menunjukkan gambar Exco kerajaan Pulau Pinang Phee Boon Poh, bekas Exco kerajaan Johor Datuk Abdul Latif Bandi dan ADUN Perak Tan Kar Hing dan Chang Lih Kang.
Phee ditahan reman bagi dakwaan salah guna kuasa berkaitan kilang penapis karbon yang beroperasi secara haram, manakala Abdul Latif direman dan dihadapkan 33 tuduhan rasuah hartanah.
Kedua-duanya memakai pakaian lokap SPRM berwarna jingga ketika dibawa ke mahkamah.
Tan dan Chang pula memakai pakaian lokap ungu PDRM bagi kes himpunan 'Tangkap MO1 (Malaysian Official 1)' tahun lalu.
Lau berkata beliau akan menghantar surat kepada kepimpinan polis untuk mengaturkan pertemuan bagi mendapatkan penjelasan.
'Pakaian sendiri'
Anggota Parlimen Segambut Lim Lip Eng pula berkata, tahanan sepatutnya tidak perlu memakai pakaian lokap kerana mereka masih belum dibuktikan bersalah.
"Mereka ditahan, bukannya didakwa. Tetapi mereka memakai seragam lokap ketika dibawa ke mahkmaha...Mereka sepatutnya bebas memakai pakaian sendiri. Ini adalah prinsip 'tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya'.
"Mereka diaibkan walaupun belum dijatuhkan hukuman bersalah. Keluarga dan anak mereka turut berhadapan aib yang sama," katanya yang juga seorang peguam.
Bekas IGP Tan Sri Khalid Abu Bakar pernah dilaporkan berkata, pemakaian seragam ungu bagi tahanan polis adalah amalan biasa untuk membezakan mereka dengan orang awam.
Namun ia disangkal anggota parlimen Padang Serai N Surendran yang berkata polis telah melanggar prosedur operasi piawai (SOP) mereka sendiri dengan berbuat demikian.
Surendran berkata amalan itu mencetuskan prejudis terhadap suspek.
Bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah sebelum ini juga menyifatkan tindakan memaksa individu memakai baju lokap dan digari ketika ke mahkamah melanggar hak kebebasan asasi yang dilindungi perlembagaan.