Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Azmin dakwa hotel di Ipoh batal tempahan dewan PKR

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa sebuah hotel di Ipoh telah membatalkan tempahan sebuah dewan untuk PKR Perak yang merancang untuk mengadakan mesyuarat tertutup parti.

Menerusi Twitter, Azmin berkata acara itu tidak dapat dijalankan susulan pihak pengurusan hotel itu ditekan untuk membatalkan tempahan pada saat terakhir.

“Pertemuan tertutup dengan pimpinan PKR Perak di Hotel Seri Malaysia Ipoh terpaksa berpindah kerana pengurusan hotel ditekan untuk batal tempahan saat akhir.,” tweet menteri besar Selangor itu pagi ini.

"(Menteri Pelancongan dan Kebudayaan) YB Datuk Seri (Mohamed) Nazri Abdul Aziz perlu jawab," katanya.

Ketika dihubungi, Setiausaha PKR Perak, Abdul Yunus Jamahari berkata, mereka hanya dimaklumkan oleh pihak hotel mengenai pembatalan berkenaan pada malam semalam.

“Malam tadi sekitar 10 malam, wakil kami dapat panggilan bahawa tempahan tersebut dibatalkan atas arahan pihak-pihak tertentu.

“Ini tindakan tidak profesional (dari hotel), yang datang ini MB Selangor, jadi layanan kami terima, bagi kami tidak sepatutnya, sangat memalukan sebab mereka batal tanpa beri satu alasan kukuh,” katanya yang juga adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Kurau.

Menurutnya, PKR sebelum ini, tidak menghadapi masalah seperti ini kerana mereka telah menempah hotel yang sama untuk menganjurkan seminar, latihan dan program jentera pilihan raya sepanjang lima tahun lalu.

Walau bagaimanapun, beliau berkata terdapat kemungkinan bahawa hotel itu ditekan oleh parti politik tertentu untuk melakukan tindakan sedemikian.

“Kita jangka kemungkinan tekanan politik. Sebab dia orang perniagaan, sepatutnya tak boleh buat macam ini.

“Kita jangka ada tekanan politi dari pihak-pihak tertentu,” katanya.

Sehubungan itu, mesyuarat tertutup antara Azmin dan pemimpin Perak lain akan dipindahkan ke ibu pejabat PKR Perak.

Malaysiakini sedang mendapatkan alasan pembatalan itu daripada ibu pejabat Hotel Seri Malaysia di Kuala Lumpur.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS