Parti Amanah Negara (AMANAH) patut meletakkan presidennya Mohamad Sabu sebagai calon pilihan raya di Marang bagi berdepan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kata Roslan Shahir Mohd Shahir.
Bekas setiausaha akhbar Hadi itu berkata langkah itu wajar jika benar AMANAH mahu menggantikan PAS.
“Sewajarnya jika begitu, presiden lawan presiden.
“Barulah kena jika Mat Sabu sendiri turun cabar Tuan Guru di Marang atau Bang Mat (Mohamad) lebih selesa di kerusi majoriti Cina sebab ada jaminan DAP?” sindirnya.
“Alang-alang mandi biar basah Bang Mat. Nak punah dan kuburkan PAS maka bertandang dan berkampunglah Presiden AMANAH ke Marang barulah bertemu buku dan ruas atau macam mana?”
Beliau juga menyindir sama ada beliau perlu bertanya perkara itu kepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng terlebih dahulu.
Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail semalam dilaporkan berkata, Pakatan Harapan memutuskan AMANAH akan bertanding di parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang bagi menjatuhkan Hadi di kubu kuatnya.
Mereka akan berdepan dengan pertandingan tiga penjuru dengan BN.
Dalam tulisan di akhbar portal PAS Harakahdaily, Roslan berkata beliau “tidak mampu memaksa diri saya untuk tidak tersenyum lantaran geli di dalam hati” lantaran laporan itu.
Katanya, Marang dan Dun Rhu Rendang adalah kerusi tradisi presiden PAS dan jentera pilihan rayanya antara yang terkuat dan tersusun di peringkat negara.
“Kerusi ini PAS secara tradisinya bergelut dengan Umno-BN setiap PRU. Tiba-tiba bersuaralah HARAPAN mahu letak calon AMANAH di kawasan ini.
“Bermakna Marang dan Rhu Rendang bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru PRU ke-14 nanti. Lawanlah AMANAH, kerana sesiapa pun bebas bertanding,” katanya.
Dalam pilihan raya umum 2013, Hadi menang dengan majoriti 5124 menewaskan calon BN Yahya Khatib Mohamad di Marang.
Di Ru Rendang, Hadi menang dengan majoriti 2,686, jua menewaskan calon BN Razali Idris.
Kawasan itu mempunyai jumlah pengundi Melayu yang amat tinggi dengan 98 peratus di Marang dan 100 peratus di Ru Rendang.