Paling Popular
Terkini
story images
story images

SATIRA | Kalau diikutkan hati, malas dah menulis untuk Malaysiakini. Ialah, asal tulis saja, kena bantai. Liberallah, sekularlah, tak Islam macam kamulah. Ikut sedap mulut kamu saja nak mengata.

Keadaan itu buat saya sampai rasa nak buang semua baju ketat warna samar kegemaran saya, dan pakai kurta ikut budak tabligh ke hulu ke hilir ajak orang Islam masuk Islam.

Kamu yang taat beragama pun tak berani macam saya dengan budak-budak tabligh.

Kalau tak menyorok, kamu sergah balik budak-budak tabligh apabila mereka datang bercakap fasal kebesaran tuhan dengan kamu.

Menurut Fauzi Oslaini-san - guru saya - dalam hidup ini hanya ada dua lawatan yang pasti. Satu adalah lawatan malaikat maut dan kedua adalah lawatan orang tabligh.

Minyak naik, air melimpah

Kalau budak-budak tabligh datang, pasti dan pasti saya berani mengikut mereka kerana saya takut akan lawatan malaikat maut.

Maklumlah, menurut kamu saya ini liberal, sekular, penyokong LGBT dan pemusuh agama.

Yang belum kamu gelar saya cuma penunggang agama. Ada rasa lega dan juga sedikit kecewa apabila belum dilabel demikian.

Jika mati saya dalam keadaan demikian - juga menurut kamu - neraka jahanamlah tempat saya. Mungkin kerana selepas tuhan, kamulah yang paling layak menghukum dan menghumbankan sesiapa yang kamu suka ke dasar paling gelap neraka milik Tuhan.

Macam-macam terjadi sejak saya berehat menulis. Daripada orang besar negara meng-kepala-otak-kan orang hingga pemain bolasepak mem-pund*k-kan orang.

Juga berlaku banjir di beberapa negeri. Minyak naik dan naik. Siti Nurhaliza hamil, Datuk Seri pukul orang, Vida buat video sejuta... macam-macam.

Kemudian apabila banjir, kamu saling salah menyalah.

Banjir di negara kita ini senang saja jawapannya, iaitu korupsi.

Cakaplah apa saja kamu mahu. Bala Oktoberfestkah, balasan Tuhankah. Pulang balik, puncanya ialah kamu tamak.

Kelantan banjir kerana tamak. Pulau Pinang juga sama. Tidak lama lagi kamu akan lihat Kuantan sekali lagi akan dilanda banjir lumpur.

Bukit Sekilau yang di tengah bandar Kuantan sedang ditarah dengan gembiranya oleh - katanya - orang tinggi dalan pentadbiran negeri. Bukan yang paling tinggi, tapi yang tingi.

"Tunggula dia bersara nanti; nak tengok ada tak orang nak layan dia..." kata Azlan, bekas pegawai bank yang saya kenal lama.

Hutan di Merapoh, Kuala Lipis sedang giat ditebang juga kerana tamak.

Kita jadi tidak faham mengapa semua yang terlibat menjadi gelojoh seperti tidak punya masa lama dan harus merosakkan alam sekitar secepat mungkin.

Mahu kiamat segera berlaku dan segera masuk sorga, barangkali.

Memang semua orang mencarut, tetapi apabila pemimpin besar melakukannya di hadapan ramai maka ketahuanlah kita bahawa malang sedang menyelubungi negara.

Pemain bola sepak boleh saja dimaafkan kerana kita tahu siapa pun bila berasa hebat dan dilindungi, akan berasa sombong.

Kita tunggu dia pencen - macam kata kawan saya tadi.

Dalam hal lain pula, bola sepak Piala Dunia akan sedikit kurang meriahnya dengan kegagalan Itali, Belanda serta JDT untuk layak bertanding.

Kalau ikutkan, malas dah menulis untuk Malaysiakini. Ialah, asal tulis, kena bantai. Liberallah, sekularlah, tak Islam macam kamulah. Ikut sedap mulut kamu saja nak mengata.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan penyair yang sederhana. Juga seorang jurugambar amatur serta seorang ninja dalam latihan.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS