Penukaran struktur pelaksana projek Mass Rapid Transit 3 (MRT3) daripada model rakan pelaksana projek (PDP) kepada turnkey membuatkan tiada syarikat Malaysia mampu membidanya, dakwa Rafizi Ramli.
Naib presiden PKR itu berkata syarat-syarat utama yang perlu dipatuhi syarikat pembina hanya boleh dipenuhi syarikat dari China.
Menurut Rafizi, pembida perlu membiayai sendiri sekurang-kurangnya 90 peratus kos pembinaan, atau RM36 bilion daripada kos RM40 bilion (paling kurang).
“Bukan sahaja tidak ada syarikat Malaysia yang ada wang sebanyak itu, tidak ada bank yang akan memberi pinjaman sebanyak itu tanpa mengenakan kadar faedah yang tinggi,” katanya.
Sementara itu, katanya lagi, setelah siap pembinaan, bayaran dana yang didahulukan itu tidak perlu dibayar untuk lapan tahun pertama, kemudian jumlah dana boleh dibayar untuk tempoh 30 tahun akan datang.
Justeru, dakwa Rafizi, penukaran konsep PDP kepada turnkey itu “bukanlah bermotifkan keinginan untuk menjimatkan kos semata-mata”.
“Saya berpendapat pertukaran ini hanyalah untuk disesuaikan dengan keperluan menganugerahkan projek terbesar yang dibiayai oleh rakyat ini kepada satu lagi syarikat milik negara China,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corporation Datuk Seri Shahril Mokhtar semalam berkata keputusan menukarkan struktur PDP MRT3 kepada model turnkey boleh menjimatkan perbelanjaan berbilion-bilion ringgit.
Katanya, ia membolehkan MRT Corp mendapatkan opsyen pembiayaan terbaik memandangkan 80 peratus kerja membabitkan kerja-kerja pengorekan dan penerowongan menelan belanja besar.
Lontraktor turnkey akan dipilih melalui sistem tender terbuka. Bidaan akan bermula pada Rabu ini (taklimat tender) sehingga 25 Disember dan pembida berjaya akan diumumkan menjelang Februari tahun depan.
Bagi memasuki tender tersebut, bakal pemohon mestilah memenuhi keupayaan kewangan minimum dengan modal berbayar dan dana pemegang saham tidak kurang daripada RM5 bilion.
Dalam model turnkey, kontraktor membida satu harga dan bertanggungjawab menguruskan semuanya, termasuk memilih kontraktor kecil.
