Senator Dr Ariffin Omar menempelak tuduhan pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff yang mendakwa komposisi baru pimpinan DAP memperkuatkan lagi dakwaan bahawa parti itu memang mempunyai agenda Kristianisasi.
“Sebelum dia (Dr Kamarul) buka mulut, elok dia fikir dulu sebelum bercakap – elok baca balik perlembagaan DAP.
“Dia ni tak ada kerja lainkah? Nak cari pasal pun carilah yang munasabah sikit. Adakah ini tahap ahli akademik kita?
“DAP dari dulu parti sekular berlandaskan Perlembagaan, tak kira mana-mana individu pemimpin yang kuat agama atau tak kuat agama; Islam atau bukan-Islam, siapa-siapapun boleh sertai DAP,” katanya yang dipetik portal Roketkini.
Ariffin mengulas tulisan Kamarul Zaman di Harakahdaily, semalam yang membuat dakwaan itu berdasarkan penyelidikannya ke atas latar belakang sepuluh orang ahli tambahan yang dilantik ke Jawatankuasa Tertinggi Pusat CEC.
Menurutnya, adalah didapati bahawa sekurang-kurangnya tujuh daripada mereka adalah penganut Kristian tegar, di mana sebahagian daripada mereka diketahui sebagai terlibat dengan aktiviti evangelisme Kristian.
Dr Kamarul sebelum ini pernah menimbulkan kontroversi dengan mendakwa Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Hannah Yeoh mahu membina semula Malaysia mengikut acuan agama Kristian.
Ia berdasarkan kandungan buku pemimpin wanita DAP itu yang bertajuk 'Becoming Hannah' yang didakwanya seagai usaha untuk memujuk, mempengaruhi atau menghasut orang lain yang bukan beragama Kristian supaya cenderong kepada agama Kristian.
Mengulas mengenai jawatan naib pengerusi DAP Kebangsaan yang gagal dipertahankan dalam pemilihan semula di Kongres Khas DAP Ahad lalu, Ariffin berkata sudah tiba masanya jawatan itu diberikan kepada pemimpin lain.
“Saya terima keputusan itu. Masanya sudah tiba bagi saya beri laluan kepada pemimpin lain.
“Saya pegang jawatan itu sejak 2012. Ini adalah proses pembaharuan dan kita kena terima, tiada masalah,” katanya.