Sumbangan dalam bentuk wang tunai dan bantuan lain terus mencurah-curah buat mangsa banjir di Pulau Pinang, dan hari ini ketua menteri Lim Guan Eng menerima sejumlah RM1.04 juta dari beberapa pihak.
Sumbangan itu antara lain daripada Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (RM800,000), Moral Uplifting Society Malaysia (RM80,000), Moral Uplifting Society Pulau Pinang (RM60,000) dan Kuil Kajang Selangor (RM100,000).
Lim juga mengumumkan penerimaan cek bernilai RM1 juta dan RM500,000, masing-masing daripada kerajaan Selangor dan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor.
Selain itu, kumpulan perubatan Pulau Pinang mengumumkan 59 klinik di negeri itu akan menawarkan ratawan percuma kepada 100 mangsa banjir pertama yang mendaftar di setiap klinik (tertakluk kepada budi bicara doktor) selama sebulan, bermula hari ini.
Rangkaian kedai elektrik dan elektronik, Pensonic dan Wah Lee juga menyumbang dalam program 'Penang Bangkit' dengan memberikan ratusan periuk nasi, diskaun kepada alat ganti bagi barangan yang rosak, perkhidmatan baik pulih peralatan secara percuma serta diskaun untuk pembelian barangan terpilih kepada mangsa.
Maklumat lanjut berkenaan bantuan dan sumbangan ini boleh dilayari di www.penangbangkit.com.
Sementara itu, Lim menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar menunaikan janjinya untuk menimbangkan kelulusan peruntukan RM1 bilion untuk projek tebatan banjir di Pulau Pinang, berikutan banjir besar pada 4 dan 5 November yang telah melumpuhkan negeri itu.
Pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini, Lim berkata Najib masih belum membuat apa-apa pengumuman berhubung peruntukan itu, sejak lawatannya pada 7 November lalu.
"Beliau belum buat pengumuman dan kita belum terima apa-apa dana, sama ada untuk negeri atau mangsa. Kami harap beliau percepatkan perkara ini dan buat pengumuman tidak lama lagi," katanya.
Ketika lawatannya itu, Najib tidak menjanjikan dana tetapi berkata 13 projek tebatan banjir dengan nilai RM1 bilion sudah dikenalpasti di negeri itu, dan kerajaan pusat sebelum ini sudah meluluskan RM150 juta untuk projek itu.