PARLIMEN l Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempertahankan amalan memakaikan seseorang dengan pakaian lokap semasa suspek direman bagi membantu siasatan polis.
Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata uniform itu direka bagi memastikan seseorang tahanan mendapat pakaian yang sesuai mengikut piawaian ditetapkan.
Ia juga katanya dipastikan tidak mendatangkan kemudaratan kepada tahanan atau berbahaya kepada tahanan lain dalam kurungan.
Ahmad Zahid membuat penjelasan itu melalui jawaban bertulis bertarikh 8 Nov lalu. Terdahulu N Surendran (PKR-Padang Serai) bertanya sama ada KDN dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bercadang menghentikan amalan membawa tahanan reman ke mahkamah dengan pakaian berwarna oren dan ungu.
Pada 17 Ogos lalu Surendran pernah membangkitkan kewajaran SPRM memakaikan tahanan reman agensi antirasuah itu dengan seragam oren.
"Amalan ini melanggar prinsip bahawa seseorang tidak bersalah sehingga terbukti bersalah dan dengan itu menyalahi undang-undang serta melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan," kata Surendran.
Bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah juga berpendapat memaksa seseorang memakai baju lokap dan digari ketika ke mahkamah melanggar hak kebebasan asasi yang dilindungi perlembagaan.
Ikut perintah tetap
Katanya antara aspek yang terkandung dalam hak kebebasan asasi seseorang ialah dia dianggap tidak bersalah sehinggalah dibuktikan sebaliknya di mahkamah.
"Jadi sepatutnya dielakkan daripada dipakaikan baju (lokap) itu yang (boleh menyebabkan) orang awam menyangka dia melakukan kesalahan," katanya pada 22 Ogos lalu.
Mengulas pandangan Surendran itu Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad mempertahankan amalan berkenaan dan bersedia ke mahkamah untuk dicabar.
"Jika ini tidak sah, bawa ke mahkamah dan cabar kami.
"Jika tidak berpuas hati, mereka boleh membawanya ke mahkamah," katanya.
Ahmad Zahid berkata kuasa untuk menentukan jenis dan warna pakaian tahanan reman diputuskan mengikut Seksyen 97 Akta Polis yang membenarkan ketua polis negara mengeluarkan "perintah tetap" yang tidak bercanggah dengan akta berkenaan.
"Selaras dengan kehendak ini Arahan Ketua Polis Negara A118 dan Arahan Pentadbiran Bilangan 16 bertarikh 2 Sept 2009 telah dikeluarkan bagi memperincikan pengurusan lokap dan pakaian semasa dalam tahanan," katanya.