Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penduduk Taman Desa bantah cadangan pembangunan
Diterbitkan:  Nov 11, 2017 10:55 PM
Dikemaskini: 3:01 PM

Penduduk Taman Desa menyuarakan bantahan mereka terhadap cadangan pembangunan yang melibatkan kondominium pencakar langit, memaklumkan bahawa tapak pembangunan itu pernah diperuntukkan pihak berkuasa tempatan sebagai kawasan paru-paru hijau ibu kota negara.

Para penduduk membantah cadangan membina tiga blok bangunan dengan ketinggian antara 32 ke 42 tingkat, dikenali sebagai 'The Address' dan sesi bantahan telah diadakan pada September tahun lalu.

Seorang penduduk Taman Desa, Khong Kam Yin mendakwa bahawa penduduk telah membangkitkan beberapa perkara dalam sesi itu tetapi pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak menjawab hal yang dibangkitkan itu.

Pihak DBKL atau pemaju tidak mengadakan sebarang pertemuan lanjutan bagi menjelaskan persoalan yang dibangkitkan semasa sesi bantahan itu, dakwa Khong dalam sidang akhbar hari ini.

Peguam yang mewakili sekumpulan pemilik hartanah yang membantah projek pembangunan itu telah menghantar suatu notis kepada DBKL mendesak pihak dewan bandaraya untuk memaklumkan mereka jika projek tersebut telah diluluskan.

Namun, surat peguam tidak berjawab

Pada 13 Mac tahun ini sekumpulan 11 pemilik hartanah di Taman Desa memutuskan untuk memfailkan semakan kehakiman selepas mendapat tahu DBKL memberikan kelulusan rancangan projek itu.

"Kami katakan keputusan untuk memberi kelulusan dibuat Datuk Bandar Kuala Lumpur tanpa mengambil kira beberapa perkara yang perlu diberi perhatian seperti menjalankan kajian teliti terhadap kesan sosial, trafik dan alam sekitar cadangan pembangunan kepada Taman Desa dan penduduknya," kata Khong yang merupakan salah seorang plaintif dalam permohonan semakan kehakiman itu.

"Datuk Bandar juga meluluskan rancangan tersebut walaupun faktanya tapak cadangan pembangunan itu telah digazetkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai tanah rezab dan bukan tanah penempatan.

"Menurut rancangan bandaraya terkini, tapak pembangunan itu dicadangkan untuk digazetkan sebagai kawasan hijau ibu kota negara," tambah beliau.

Bagaimanapun, seorang wakil pemaju dipetik The Edge Malaysia berkata kawasan itu bukan digazetkan sebagai paru-paru hijau ibu kota itu kerana TNB telah memulangkan kembali tanah rezabnya kepada pejabat tanah.

Namun, Khong mendakwa proses memberi kelulusan rancangan itu tidak mengikut prosedur betul seperti yang diperuntukkan dalam Kaedah-kaedah Rancangan (Pembangunan) 1970.

Selain kawasan 'The Address' itu terdapat 12 cadangan pembangunan di kawasan terbabit.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengizinkan permohonan semakan kehakiman para penduduk itu.

Para penduduk juga telah memfailkan penangguhan kelulusan rancangan pembangunan itu, memaklumkan pihak pemaju kelihatan meneruskan projek tersebut walaupun prosiding semakan kehakiman sedang berlangsung.

Pihak pemaju juga telah memfailkan permohonan untuk campur tangan menjadi pihak dalam prosiding semakan kehakiman itu, tetapi para penduduk membantah hal itu.

Tarikh pendengaran kes semakan kehakiman ini belum lagi ditetapkan, tetapi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mendengar permohonan pihak pemaju untuk campur tangan pada 29 November 2017 ini.


 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS