Umpama dilanda 'mini tsunami', begitulah boleh digambarkan keadaan di Taman Sinar Mentari, Bedong dekat Sungai Petani, selepas hampir 200 rumah terjejas akibat banjir, Sabtu lalu.
Tinjauan Bernama di kawasan taman perumahan terbabit semalam, mendapati penduduk taman masih sibuk melakukan kerja-kerja pembersihan, di dalam dan luar rumah, walaupun banjir sudah surut sejak empat hari lepas.
Seorang mangsa banjir, Nor Azrihan Hazami, 37, berkata sejak air kembali surut dan semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, dia dan suami serta anak mereka melakukan kerja pembersihan setiap hari.
"Bermula dengan membersihkan lantai dan dinding rumah, peralatan elektrik dan perabut, serta membuang barangan yang rosak, diikuti dengan kerja membasuh pakaian yang diselaputi lumpur banjir, sehari lebih 15 kali mesin basuh berputar.
"Jika dilihat pada hari pertama selepas air surut, macam selepas dilanda 'mini tsunami', penuh dengan sampah sarap, perabut dan peralatan elektrik, kereta dan motosikal rosak akibat banjir," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya.
Sementara itu, warga emas, Rohani Ishak, 71, berkata sebaik melihat air mula memenuhi ruang parkir kereta, dia dan anak-anaknya mula mengangkat barang-barang penting, terutamanya barangan elektrik, ke tempat tinggi, namun banyak yang rosak apabila almari turut tumbang akibat dibasahi air banjir.
"Kira-kira 60 kilogram beras, lebihan kenduri anak perempuan saya pada 14 Oktober lalu, dibuang begitu sahaja apabila meja tempat beras diletakkan, patah dan beras dalam kampit rosak dimasuki air.
"Urusan pembersihan, anak-anak yang banyak membantu, selain bantuan daripada sukarelawan dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)," katanya.
Sementara itu, Ridzuan Hanafi, 42, berkata jumlah kerugian dianggarkan melebihi RM10,000, tidak termasuk kerosakan melibatkan dua motosikal dan sebuah kereta miliknya.
"Sudah 10 tahun saya menyewa di taman ini namun ini banjir terburuk melanda taman ini, sejak banjir pertama pada 2008.
"Banyak lagi kerja pembersihan yang perlu dilakukan, kereta dan motosikal perlu dibaiki, pakaian saya, isteri dan dua anak perempuan sehingga hari ini belum habis dibersihkan," katanya.
Dalam perkembangan sama, Koordinator Program Bantuan Sukarelawan Pasca Banjir Daerah Kuala Muda yang juga Pegawai Belia dan Sukan daerah, Mohd Abdul Al Aliff Jenal berkata 40 sukarelawan daripada pelbagai agensi di Kuala Muda terbabit dalam program gotong-royong di Taman Sinar Mentari, bermula 8 pagi semalam.
"Ia termasuklah Pejabat Belia dan Sukan, APM, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Alam Sekitar, Universiti Aimst, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah, Hospital Pantai, Majlis Belia Daerah, E-Idaman dan banyak lagi.
"Selain membantu penduduk membersihkan rumah, kami turut membantu mengalihkan barangan yang rosak untuk dibuang. APM pula membantu memasak makanan untuk 200 penduduk taman yang terjejas teruk akibat banjir," katanya.
- Bernama