Kumpulan pemantau pilihan raya, BERSIH hari ini mendakwa, mereka menemui lebih ramai pengundi tentera yang dipindahkan ke kem di Bera, Pahang, dan Hutan Melintang, Perak, yang masih dalam pembinaan.
Timbalan Pengerusi BERSIH, Shahrul Aman Mohd Shaari berkata penemuan itu dijumpai susulan pendedahan sama oleh DAP Johor minggu lalu, yang mendakwa pengundi tentera dipindahkan ke kem yang belum siap di Segamat di Johor.
Merujuk Daftar Pilihan Raya suku ketiga 2017, Shahrul berkata terdapat 1,234 pengundi tentera baru yang didaftarkan di kerusi parlimen Bera yang dipegang oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sementara itu, seramai 1,411 pengundi tentera baru didapati didaftarkan di kerusi negeri Hutan Melintang, yang terletak di bawah kawasan Parlimen Bagan Datuk yang dipegang oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
"Analisis kami menunjukkan bahawa pemindahan berlaku di kerusi yang dimenangi (oleh BN) dengan majoriti tipis pada pilihan raya umum ke-13 lalu.
"Khususnya, tiga kerusi itu dimenangi oleh menteri," kata Shahrul Aman semasa sidang akhbar di pejabat BERSIH di Petaling Jaya.
Kerusi Segamat kini dipegang oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam yang memenanginya dengan majoriti 1,217 undi. Beliau mengalahkan bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Chua Jui Meng yang kini bersama PKR.
Ismail Sabri menang di Bera dengan majoriti 2,143 undi menentang Zakaria Abdul Hamid dari PKR manakala Ahmad Zahid mempertahankan kerusi Bagan Datuk untuk penggal kelima dengan majoriti 2,108 menentang Madhi Hasan dari PKR.
"Ini jelas menunjukkan bahawa pemindahan berkenaan bermotivasi politik dan bertujuan untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya melalui undi awal atau pos," kata Shahrul.
Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah, yang juga hadir, berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga telah mewujudkan lokaliti baru di kerusi-kerusi berkenaan untuk memudahkan pemindahan pengundi tentera ke kem-kem yang belum siap.
"Kenapa ini berlaku? Jadi kita (BERSIH) merasakan bahawa SPR menyedari pemindahan ini (dipersoalkan) tetapi mereka tidak mengambil tindakan untuk membatalkan nama berkenaan sebelum daftar pemilih diwartakan," katanya.