Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bilal akui pelawa bukan Islam berteduh di surau
Diterbitkan:  Nov 6, 2017 7:15 PM
Dikemaskini: 11:30 AM

Bilal Surau Taman Free School di Georgetown, Pulau Pinang mengakui dirinya mempelawa sekumpulan lelaki dan wanita dewasa berbangsa Cina menumpang di surau berkenaan, semalam susulan banjir yang melanda negeri tersebut.

Sapno Tukijo, 50 berkata demikian kepada portal Berita Harian Online, berikutan gambar mangsa bukan Islam berteduh di sebuah surau menjadi tular di media sosial.

Gambar yang disebarkan itu turut memaparkan seorang lelaki yang tidak berbaju dalam keadaan kesejukan manakala yang lain sedang duduk atau berbaring menghilangkan kepenatan mereka.

Menceritakan apa yang berlaku, Sapno berkata, pada kira-kira jam 2 pagi itu, ramai penduduk cuba menyelamatkan diri dengan mahu menumpang di kuil berhampiran, namun arus deras menghalang mereka menuju ke kuil berkenaan.

"Pada mulanya mereka segan kerana menghormati surau, tetapi situasi pada waktu itu sangat genting kerana air sudah mencecah paras dada.

"Kuil itu hanya terletak beberapa meter di seberang jalan dan saya cuba membawa mereka dengan mengikat tali di tiang elektrik, namun gagal kerana arus deras.

"Saya akhirnya mempelawa mereka menumpang di surau dan mereka akur demi keselamatan," katanya yang dipetik portal itu.

Sapno berkata, jumlah sebenar mangsa yang ditempatkan di surau berkenaan seramai 70 orang, membabitkan masyarakat Cina dan India yang tinggal di kampung sekitar Lengkuk P Ramlee, di Georgetown.

Katanya, beliau tidak mempedulikan pandangan orang ramai di media sosial yang mengecam gambar berkenaan, kerana apa yang lebih penting ialah keselamatan semua pihak.

"Saya tahu ada yang akan mengecam tindakan itu, namun saya akan berasa lebih bersalah sekiranya melihat mereka tanpa arah tujuan atau lebih buruk dihanyut arus deras," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS