Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail merasakan tidak adil apabila seorang yang pernah berpangkat menteri melemparkan tuduhan bahawa suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim meliwat anak buahnya.
Wan Azizah berkata bekas Menteri Kewangan Kedua, Ahmad Husni Hanadzlah tidak seharusnya menuduh seseorang tanpa bukti kerana ia mencemar maruah orang yang dituduh.
"Kamu menuduh seseorang dengan menamakannya, teruskanlah. Dalam Islam ia adalah qazaf. Tapi kamu tak boleh tuduh seseorang itu tanpa bukti kerana ia melibatkan reputasi individu itu dan harga diri.
"Dan ia juga berkaitan dengan keluarga saya. Kami telah melaluinya (tuduhan) selama 20 tahun. Saya rasa tak adil bagi seorang yang pernah berpangkat menteri mengeluarkan kata-kata sedemikian," katanya kepada pemberita di parlimen hari ini.
Wan Azizah berkata demikian mengulas kenyataan Ahmad Husni di Dewan Rakyat Rabu lalu yang berkata beliau meninggalkan perjuangan Anwar selepas mendapati Anwar terlibat dengan kes liwat dengan anak buahnya (anak buah Husni).
Kenyataan Husni itu mengundang pelbagai reaksi dari pembangkang yang meminta beliau mengulangi tuduhan yang dilemparkan terhadap Anwar di luar Dewan Rakyat.
Aanggota Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul berkata Husni mesti berbuat demikian memandangkan Anwar tidak dapat membela dirinya di Dewan Rakyat ketika tuduhan itu dibuat Rabu lalu.
Menurut Hansard, Husni ketika itu sedang membidas beberapa pemimpin pembangkang termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, dan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pada satu ketika, Husni menuduh Anwar sebagai seorang peliwat dan berkata: “Liwat, dia terlibat dengan anak buah saya.”
Husni bagaimanapun tidak menjelaskan istilah "anak buah" yang dalam bahasa Melayu membawa maksud "orang bawahan" atau "anak saudara".
Mengulas lanjut, Wan Azizah berkata beliau seolah-olah tidak percaya dengan tuduhan yang dilemparkan Ahmad Husni itu kerana anggota parlimen Tambun itu merupakan seorang yang sering menyentuh perihal agama.
"Seperti tidak percaya. Seseorang yang sering bercakap mengenai hal agama dan (pada masa sama) keluar kenyataan seperti itu. Sangat memalukan," katanya.
Anwar kini sedang menjalani hukuman penjara selama lima tahun sejak 2015, setelah perbicaraan di mahkamah mendapati beliau bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Anwar dan ramai pemimpin pembangkang berulang-kali menyatakan tuduhan itu bermotifkan politik dan bertujuan meminggirkan Ketua Umum PKR itu.