Kerajaan Negeri Pulau Pinang digesa untuk tidak lagi meneruskan projek-projek pembangunan di lereng-lereng bukit, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
“Saya ingin menyentuh sedikit bawa projek di kawasan bukit itu minta tolong jangan dilaksanakanlah sebab kesannya macam semalam ada tanah runtuh, di Tanjung Bungah, jalan raya, dan perumahan itu nasib baik ia belum diserahkan lagi,” kata Wan Junaidi dalam sidang media khas berhubung isu banjir di Pejabat Jabatan Pengairan dan saliran (JPS) cawangan Ampang, hari ini.
Hujan lebat dan ribut petir menyebabkan krisis banjir di Pulau Pinang semalam. Akibatnya berlaku kejadian tanah runtuh di kawasan Tanjung Bungah.
Pada 22 Oktober 2017 lalu, suatu kejadian tanah runtuh berlaku di tapak pembinaan di Tanjung Bungah yang meragut 11 nyawa.
Malah, Wan Junaidi yang juga anggota parlimen Santubung mengesa kerajaan Pulau Pinang memainkan peranan penting dalam mengutamakan pembangunan di negeri itu.
"Kerajaan Pulau Pinang mesti memainkan peranan penting dalam mengutamakan pengurusan pembangunan di negeri itu.
"Saya sangat yakin bahawa jika kerajaan Pulau Pinang mempunyai dana tambahan, ia harus mengutamakan projek menangani masalah banjir untuk kebajikan rakyat," kata Wan Junaidi.
Manakala mengulas sama ada pembangunan di negeri itu telah memburukkan lagi banjir di Pulau Pinang, Wan Junaidi berkata beliau tidak mahu mengaitkannya dengan politik.
"Saya tak nak kaitkannya secara politik, saya hanya menyebut bahawa terdapat lebihan hujan yang tinggi hingga menyebabkan banjir di Pulau Pinang.
"Tetapi apabila hujan turun dan jika kita telah membersihkan hutan dan bukit kita, ia akan mengurangkan kapasiti penyerapan air di kawasan itu dan pada akhirnya menyebabkan banjir.
"Dan jika keupayaan saliran kita tidak mencukupi atau tersumbat dengan lumpur, lumpur atau serpihan seperti yang kita lihat di Kuala Lumpur, maka kita akan mendapat banjir.
"Ia bukan disebabkan oleh faktor tunggal," katanya.
Tambah Wan Junaidi, beliau yakin masalah banjir ini akan dapat diselesaikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 melalui Rancangan Tebatan Banjir Sungai Pinang.
“Bermula November hingga Mac ini kita akan memulakan perlaksanaan 16 projek besar yang melibatkan RM 4.3 bilion.
“Ini bukan projek pilihan Raya tapi projek ini di rancang pada tahun 2016 tetapi salah satu masalahnya macam di Pulau Pinang penyelesaian itu makan masa yang panjang jadi yang satu lagi projek yang begitu banyak kesan daripada banjir besar pada 2014 dulu.
“Ini salah satu permulaan projek atau pertengahan projek tebatan banjir,” kata Wan Junaidi.