Paling Popular
Terkini

Dalam serangan terbaru Datuk Seri Najib Razak terhadap pembangkang, hari ini beliau menzahirkan kemarahannya dengan lebih nyata.

Berucap di mesyuarat agung tahunan MCA di Kuala Lumpur pengerusi BN itu berkata hubungan Malaysia dan China yang berlaku di bawah pentadbirannya tidak akan menjejaskan kedaulatan negara.

Mengulas pendirian Pakatan Harapan (HARAPAN) - yang diketuai tokoh yang sebelum ini melobi untuk menaikkan Najib sebagai perdana menteri - untuk mengkaji semula perjanjian berkenaan, perdana menteri berkata ia sangat tidak logik.

"Mereka mengancam untuk mengubah segala-galanya, kononnya (Malaysia) menjual kedaulatan. Apa? Kepala bapak kau! Tak logik," katanya dengan bersemangat di depan ribuan perwakilan yang memenuhi dewan persidangan di Ibu Pejabat MCA di Jalan Ampang.

Bagaimanapun Najib kemudian meminta maaf kerana menggunakan "bahasa kasar" dalam ucapannya.

Mentaliti tak bodoh

Kata Najib tidak ada kedaulatan negara yang tergadai ekoran keputusan kerajaan mengadakan hubungan ekonomi dan pelaburan dari China.

"Bodoh. Anda fikir Kuantan Industrial Park orang Malaysia tak boleh masuk?

"Bodoh punya kerja. Saya tak lah terlalu bodoh untuk menipu Malaysia. Ini adalah tanah air kita yang berdaulat," katanya disambut dengan tepukan gemuruh hadirin.

Menjelaskan kenyataan itu perdana menteri mengakui beliau berang dengan kenyataan dibuat pembangkang yang disifatkannya sebagai menipu serta mengarut.

"Pergi Forest City cerita macam-macam. Itu semua tanah tebus gunalah, bukan tanah Johor.

"Tanah tebus guna sebahagiannya dijual kepada pihak luar negara, manakala sebahagian lagi kepada orang tempatan.

"Anda fikir mentaliti orang Malaysia begitu bodoh hingga tak boleh berfikir sendiri?" katanya.

Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad antara tokoh terawal mengkritik projek Forest City yang dibangunkan di Johor.

Kata perdana menteri keempat Malaysia itu projek berkenaan berbahaya kepada kedaulatan negara dan reaksi diterimanya menunjukkan majoriti rakyat bersetuju dengan pandangan itu.

Dr Mahathir berkata banyak tanah dan kediaman di sekitar Johor Bahru akan dijual kepada warga asing sehingga boleh menimbulkan pelbagai masalah, termasuk keselamatan.

Beliau sendiri melawat ke kawasan berkenaan untuk meninjau dan melihat sendiri dari dekat perkembangan Forest City. 

Bagaimanapun seorang anggota parlimen memberitahu Malaysiakini dakwaan dibuat Dr Mahathir adalah salah.

Anggota Parlimen Sekijang Anuar Manap berkata status pegangan kekal di projek pembangunan itu adalah hanya untuk hak milik strata dan bukannya tanah.

“Tidak ada seinci pun tanah Johor yang dimaksudkan hak milik kekal ini,” katanya.

Taman Perindustrian Kuantan Malaysia - China (MCKIP) yang disentuh Najib itu pula membabitkan kawasan yang dimajukan di Gebeng dan digelar sebagai 'Tembok Besar China'.

Dr Mahathir turut melawat ke kawasan berkenaan dan mencatatkan pengalaman itu pada 20 Okt lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS