Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown tidak mengesahkan dakwaan-dakwaan terhadap parti itu dalam tulisannya.
Hadi berkata, Rewcastle-Brown yang beroperasi dari London tidak menyemak dengan beliau atau pihak lain daripada PAS berkaitan perkara itu sebelum menerbitkannya.
“Dia juga tidak berusaha mendapatkan komennya (Hadi) atau PAS,” menurut pernyataan tuntutan yang difailkan pada 21 April 2017 yang dilihat oleh Malaysiakini.
Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown di United Kingdom berkaitan artikel yang mencadangkan PAS menerima RM90 juga daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Pemimpin nombor satu PAS itu mendedahkan peguamnya sudah mengadu kepada Rewcastle-Brown bagi pihaknya melalui surat tetapi tidak menerima respon walaupun terdapat permintaan mendesak pada 5 Januari 2017.
Beliau juga menyebut laporan Malaysiakini bertarikh 17 Disember 2017, yang memetik editor Sarawak Report yang berbunyi:
"I note that PAS has paid a law firm to send a letter, which has no legal validity, and then immediately indulged in posturing in the media on the basis of that letter and in advance of their own deadline for a reply".
Beliau juga membangkitkan artikel Sarawak Report bertarikh 11 Februari 2017 yang menyebut tiada kes melibatkan Hadi.
“Artikel yang dirujuk kepada aduan penuntut dan menyebut perkara berikut: Sarawak Report berpandangan individu ini tidak mempunyai kes, begitu juga parti PAS, yang bukan menjadi entiti diserahkan sebarang surat menyurat, tuntutan atau ancaman dan akan menjadi sukar untuk menyaman bawah undang-undang British.
“Kami syak peguamnya sendiri memberikannya nasihat sama, yang sekali gus menjelaskan kegagalannya memfailkan writ. Dua bulan berlaku, kami anggap dia takut.”
Hadi juga menyebut kandungan-kandungan dalam Sarawak Report berkaitan dakwaan menerima RM90 juta itu mewujudkan kerosakan buruk terhadap reputasinya Di England dan Wales, selain di Singapura dan Malaysia.