Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keputusan pulangkan balak, jentera dirampas disiasat - KM
Diterbitkan:  Nov 2, 2017 5:15 PM
Dikemaskini: 9:17 AM

Kerajaan Sarawak telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk menyiasat keputusan jawatankuasa penyiasatan mendapati tiada kes terhadap sebuah syarikat pembalakan sehingga menyaksikan balak serta jentera dirampas bernilai kira-kira RM7juta dipulangkan semula.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata jawatankuasa yang ditubuhkan itu akan turut melibatkan wakil daripada unit keselamatan Pejabat Ketua Menteri.

“Sama ada berlaku rasuah atau tidak, biar mereka (jawatankuasa) siasat,” katanya kepada pemberita selepas Program Amanat Integriti Bersama Ketua Menteri bertemakan ‘Memperkasa Integriti dan Tadbir Urus Untuk Pembangunan Mapan' di Kuching hari ini.

Semalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan melaporkan sejumlah 3,500 batang balak dan 14 jentera berat bernilai kira-kira RM7 juta yang dirampas kerana disyaki diperolehi secara haram di Bintulu pada Ogos lalu, telah dipulangkan semula selepas jawatakuasa penyiasatan mendapati tiada kes kerana operasi pembalakan dijalankan di kawasan yang dibenarkan.

Sementara itu Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata jawatakuasa yang ditubuhkan itu tidak akan melibatkan wakil Jabatan Hutan Sarawak.

“Saya telah arahkan kes ini untuk disiasat, jawatakuasa ini tidak akan melibatkan wakil Jabatan Hutan Sarawak, ada satu lagi agensi tetapi saya tidak perlu sebut siapa (agensi) tersebut,” katanya yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua negeri.

- Bernama
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS