Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man perlu memberi penjelasan segera berhubung status rancangan tebatan banjir (RTB) Lencongan Barat yang kini kelihatan seperti tertangguh.

Projek yang difahamkan sepatutnya siap pada Jun 2016 itu dilihat seakan terhenti kerja-kerja pelaksanaannya.

Tinjauan mendapati tiada pekerja, malah jentera-jentera berat juga tersadai tanpa operasi.

Keadaan tersebut menimbulkan implikasi negatif terhadap penduduk terutama di Kampung Tebing Tinggi, Bintong.

Mereka ditimpa banjir sebanyak 12 kali sepanjang tahun ini dan merasa trauma setiap kali hujan turun.

Akibatnya juga, penduduk menanggung kerosakan kediaman, harta benda, tanaman pertanian dan haiwan ternakan.

Ini menyebabkan kerugian dan bebanan kos yang tinggi mencecah jutaan ringgit terpaksa dialami penduduk.

Sedangkan rata-rata mereka bekerja sendiri dengan pendapatan yang kecil.

Lebih malang, tiada pihak terlibat sama ada dari kontraktor atau agensi kerajaan tampil untuk menawarkan bantuan.

Lebih mengecewakan, pihak yang hadir pula seakan ‘menyalahkan’ Tuhan.

Masalah yang menimpa penduduk semata-mata dianggap sebagai bencana alam yakni oleh hujan lebat.

Sedangkan, ia tidak pernah terjadi sedemikian teruk sebelum pelaksanaan projek.

Seharusnya, projek yang dibina itu bagi menyelesaikan masalah banjir, tetapi kini berlaku sebaliknya.

Malah, turut mengenai kediaman yang sebelum ini tidak pernah mengalaminya.

Tidak sekadar banjir, kediaman penduduk juga mengalami keretakan dan runtuhan binaan berpunca daripada gegaran kuat penanaman cerucuk dari sebahagian projek tersebut.

Paling malang lagi, didakwa berlaku pengabaian terhadap penduduk kerana pertembungan politik. Kami nasihatkan, jangan kerana gajah sama gajah berlawan, pelanduk menjadi mangsa.

Projek dari Timah Tasoh ke Kuala Perlis sejauh 22 kilometer itu dilaporkan telah menggunakan kos sebanyak RM560 juta.

Pembinaan terowong yang menebuk Banjaran Nakwan sahaja membelanjakan sebanyak RM56 juta.
Kesangsian timbul terhadap kewajaran pembinaan terowong sepanjang 756 meter itu kerana aliran air boleh sahaja dilencongkan ke sungai sedia ada.

Selain terpaksa memecahkan fizikal bukit yang memakan kos besar, ia juga dilihat sebagai punca kelewatan.

Pun begitu, perancangan yang tentunya mempunyai alasan tersendiri oleh pihak kerajaan itu, tetap tidak harus memangsakan penduduk.

Anggota polis, Mohd Farijannaim Abdullah meninggal dunia apabila terjatuh di kawasan pembinaan ketika menunggang melaluinya.

Beliau meninggalkan balu dan dua anak yang masih kecil.

Sehubungan itu kami menggesa pihak terbabit segera mengambil perhatian setidak-tidaknya terhadap penduduk yang telah menjadi mangsa keadaan.

Bantuan, peruntukan, insurans dan segala perkara yang boleh menolong meringankan beban penduduk harus segera dihulurkan.

Hentikan politiking yang menyebabkan pihak tidak sewajarnya dari terus termangsa.

Kerajaan negeri Perlis juga perlu lebih bertanggungjawab memantau perkembangan projek agar dijalankan menurut prosedur standard yang sepatutnya.


NAZMAN CHE IBERAHIM pengerusi Lajnah Pekerja, Pengguna dan Alam Sekitar Pemuda PAS.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan organisasinya serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS