Harga kesemua minyak petrol dan diesel naik 4sen untuk minggu mendatang.
Bermula jam 12.01 tengah malam ini, RON95 akan dijual pada harga RM2.24 seliter, RON97 pada harga RM2.54 dan diesel pula RM2.17 seliter.
Kenaikan hari ini adalah yang ketiga berturut-turut sejak 19 Oktober lalu.
Harga terbaru RON95 dan diesel hari ini adalah yang kedua tertinggi selepas sistem harga mingguan diperkenalkan.
RON97 pula mencabat harga tertinggi sejak 30 Mac lalu.
Harga baru diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) petang ini.
Mekanisme penetapan harga bahan bakar mingguan mula dikuatkuasakan pada April lalu.
Ia ditetapkan berdasarkan kedudukan harga Means of Platts Singapore (Mops) serta kekukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat pada minggu terdahulu.
Dalam rancangan rasionalisasi subsidi 2014, subsidi minyak sepatutnya sudah dimansuhkan.
Bagaimanapun, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah kelmarin mendedahkan ia sebenarnya masih berjalan, walaupun tidak sebanyak dahulu.