Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Dua anggota parlimen PKR hari ini menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan-dakwaan dibuat bloger Raja Petra Kamaruddin terhadap Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Shamsul Iskandar Md Akin (Bukit Katil) dan Zuraida Kamaruddin (Ampang) membuat kenyataan itu selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai SPRM di Putrajaya hari ini.

Ditemui pemberita hari ini Shamsul Iskandar berkata dakwaan dibuat Raja Petra yang tersiar di laman sesawang Malaysia Today bulan lalu adalah mengejutkan.

"Kami meminta SPRM menyiasat peguam negara, terutama membabitkan insiden pemecatan Tan Sri Abdul Gani Patail," kata naib presiden PKR itu merujuk kepada kedudukan peguam negara sebelum Apandi.

Kerajaan menamatkan khidmat Abdul Gani sebagai peguam negara pada akhir Julai 2015 dan tempatnya digantikan oleh Apandi.

Menurut Apandi pertukaran itu dibuat mengikut peruntukan perlembagaan.

Bekas hakim mahkamah

Pada 20 Okt Tun Dr Mahathir Mohamad membangkitkan persoalan kesahihan langkah kerajaan itu yang menjadikan faktor kesihatan Abdul Gani sebagai alasan.

“AG dikatakan sakit, tetapi dia nafikan (sedang) sakit.

“Setakat yang diketahui, nampaknya tiada sijil sakit menyatakan beliau sakit dikeluarkan,” kata Dr Mahathir.

Kata Shamsul Iskandar selepas membuat laporan dan memberi keterangan selama kira-kira sejam pegawai SPRM berjanji untuk memberi maklum balas dalam tempoh seminggu.

Ekoran dakwaan disiarkan itu Apandi mengancam memulakan proses saman ke atas Raja Petra jika bloger terbabit tidak membuat permohonan maaf kepadanya.

Apandi menganggap tulisan Raja Petra itu sebagai "berita bohong" dan sangat bersifat memfitnah.

"Saya akan saman dia sampai kiamat," katanya.

Untuk rekod sebelum menjadi peguam negara Apandi pernah berkhidmat sebagai timbalan pendakwa raya serta hakim Mahkamah Persekutuan.

Beliau juga pernah menjadi bendahari Umno Kelantan.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS