Tindakan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad yang membidas lantang Bajet 2018 hanya mencerminkan dendam yang dpendamkan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Mohd Puad Zakarshi.
Antara sebab utama keberangan Mahathir, kata Puad, adalah kegagalan bekas perdana menteri itu untuk mengembalikan semula projek "jambatan bengkok" yang akan memberi manfaat kepada kroni.
Dalam satu catatan di Facebook hari ini, Puad mendakwa bahawa Mahathir telah meminta bantuannya untuk mengaturkan satu pertemuan dengan pemimpin bahagian Umno Johor sebaik Najib menjadi perdana menteri.
Ketika itu, Umno Johor diketuai oleh Tan Sri Abdul Ghani Othman, yang bersetuju dengan mesyuarat kemudiannya diadakan di sebuah hotel di Putrajaya.
“Dalam pertemuan itu Mahathir menyatakan dia telah berjumpa Najib dan meminta supaya membina semula jambatan bengkok yang dibatalkan oleh pentadbiran Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi).
“Mahathir memaklumkan kepada kami, Najib tidak ada masalah dengan syarat orang Johor sendiri yang mahukannya.
“Justeru Mahathir berharap Umno Johor setuju dan ini boleh ditafsir sebagai sokongan penuh rakyat Johor kepada pembinaan semula jambatan bengkok.
“Abdul Ghani berjanji kepada Mahathir untuk membawa cadangan itu bagi mendapatkan persetujuan konsensus dalam mesyuarat perhubungan,” kata Puad, yang sebelum ini adalah setiausaha politik Abdul Ghani dan bekas ketua penerangan Umno Johor.
Janji itu, bagaimanapun menurut Puad, tidak menjadi kenyataan.
“Tetapi ia tidak pernah dibincang dalam mesyuarat Umno Johor dan secara tidak langsung Umno Johor menolaknya.
“Antara puncanya, terdapat di kalangan ahli berpendapat jika diluluskan maka kontrak akan diberikan kepada syarikat sama Gerbang Perdana iaitu kroni Mahathir,” katanya.
Gerbang Perdana dianugerahkan kontrak RM1.1 bilion pada tahun 2003, tahun terakhir Mahathir sebagai perdana menteri, untuk membina sebuah jambatan ke Singapura yang sepatutnya menggantikan Tambak Johor.
Walau bagaimanapun, projek itu akhirnya dibatalkan oleh pentadbiran Abdullah.
Gerbang Perdana kemudiannya menuntut pampasan RM360 juta dari Putrajaya, tetapi hanya diberikan RM247 juta.
Puad berkata Gerbang Perdana telah mendapat pampasan tinggi dan adalah satu pembaziran jika projek berkenaan disambung semula kerana ia bukan lagi projek mendesak.
Menurut Puad, hakikatnya Umno Johor menolak "jambatan bengkok" dan "kroni kapitalisme” Mahathir.
“Ternyata Najib menggembirakan rakyat. Mahathir berduka kerana Najib tidak melayan dasar crony capitalism nya. Sebab itu dia berdendam dengan Najib.
“Mahathir, berhentilah berbohong.,” kata Puad.
Malaysiakini sudah menghubungi pejabat Mahathir untuk mendapatkan reaksinya.