Sebuah projek pembangunan di Kuala Lumpur mungkin menjadi punca banjir kilat di ibu kota semalam yang mengganggu aliran trafik di beberapa lebuh raya.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pemaju tidak mengambil kira penyediaan kolam tadahan dan perangkap sampah bagi memastikan hanya air mengalir ke dalam sungai.
Beliau justeru berharap Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) mengenal pasti jika terdapat kesalahan berlaku bawah Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).
“Mana-mana pembangunan yang ada sensitiviti perkara-perkara yang saya sebutkan tadi perlu ada EIA,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, projek yang dilulus sebelum Ogos 2015 adalah bebas daripada EIA kerana ia belum diperkenalkan.
Hujan lebat sejak awal petang semalam di beberapa kawasan di Lembah Klang mengakibatkan banjir kilat.
Antara laluan yang dilapor terjejas ialah Lebuh Raya Persekutuan berhampiran Bangsar South atau Kerinchi, Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 berdekatan Bukit Jalil dan Lebuh Raya LEKAS di susur keluar Kantan Permai Kajang.
Mengulas insiden semalam, Wan Junaidi berkata, lumpur dan sampah sarap mengalir ke dalam longkang kerana tapak pembangunan berdekatan dengan jalan raya.
“Bila ia masuk ke dalam longkang ia menyumbatkan pembetung, jadi pembetung tersebut tidak mempunyai kapasiti lagi untuk mengalirkan air ke sungai.
“Jadi dengan sendirinya air terus melimpah ke jalan berdekatan,” katanya lagi.