Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Suami cetus kejayaan Kak Wan, kata Kak Wan
Diterbitkan:  Oct 30, 2017 3:39 PM
Dikemaskini: 9:01 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Jumaat lalu mengusik Ketua Pembangkang Datuk Seri Wan Azizah Ismail dengan memuji Wan Azizah Wan Salleh yang berjaya selepas dibantu Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Wan Azizah Ismail hari ini bagaimanapun mengingatkan usahawan wanita berjaya itu bahawa AIM sebenarnya diwujudkan suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika masih berada dalam kerajaan.

“Saya nak ingatkan dewan yang mulia ini, asal usul usaha ini, ia (AIM) bermula hasil penyelidikan dan kertas cadangan dari pasukan Universiti Sains Malaysia yang telah diangkat pada tahun 1987.

“Oleh siapa? Datuk Seri Anwar Ibrahim, menteri pelajaran pada waktu itu, menjadi program khas dalam usaha membasmi kemiskinan rakyat.

“Program khas inilah diberi nama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). Kejayaan Kak Zah membuktikan kejayaan program yang dihidupkan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya ketika membahaskan pembentangan bajet 2018 di parlimen.

Najib dalam pembentangannya minggu lepas berkata beliau simpati dan kagum dengan ketabahan Wan Azizah Salleh atau dikenali sebagai Kak Wan yang sabar menempuh liku-liku hidup mencabar.

Ketika orang ramai beranggapan ia ditujukan kepada ketua pembangkang yang juga dikenali sebagai Kak Wan, Najib menyebut nama Wan Azizah Salleh yang turut hadir ke parlimen pada hari itu.

Di kalangan penyokong pembangkang, Wan Azizah Ismail terkenal semangat kentalnya meneruskan perjuangan suami yang dipenjarakan, dipecat sebagai timbalan perdana menteri dan dituduh seorang peliwat.

Di parlimen hari ini, Wan Azizah Ismail sebelum itu mengucapkan terima kasih kepada Najib kerana bersusah payah menjemput Wan Azizah Salleh ke parlimen pada hari pembentangan bajetnya.

Beliau juga ucapkan kepada AIM atas kejayaan membimbing seorang usahawan wanita hingga berjaya.

Wan Azizah Salleh adalah jutawan dalam bidang ternakan dan pemprosesan ayam, yang hanya bermula dengan modal RM500 ringgit sejak 1993.

Dalam bajet yang dianggap “bajet pilihan raya” itu, Najib juga mengumumkan tambahan peruntukan RM200 juta kepada AIM.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS