Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

LAPORAN KHAS Di bandar Semporna, orang ramai menjalani kehidupan harian mereka seperti biasa. Sebahagiannya menjaga kedai mereka manakala yang lain menawarkan khidmat kereta sapu kepada penduduk tempatan.

Walaupun mereka mungkin menjalani kehidupan yang berbeza, namun satu persamaan di kalangan mereka ialah sayangnya mereka kepada ahli parlimennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Ramai di antara mereka, apabila ditemui Malaysiakini, tidak menggunakan perkataan 'suka' ketika menggambarkan Shafie yang kini ditahan reman oleh SPRM, tetapi sebaliknya bercakap tentang bagaimana mereka sayang kepadanya.

Pemilik perniagaan Rakman Abantas menyatakan dia adalah penyokong Barisan Nasional ketika dihampiri tetapi secara diam-diam mengakui "saya sayang Shafie".

Shafie telah bersama Umno selama lebih dua dekad sebelum keluar parti pada 2016 untuk membentuk Parti Warisan Sabah, ekoran tidak sehaluan lagi dengan Perdana Menteri Najib Razak.

Walaupun sayangkan Shafie, Rakman, bagaimanapun, masih belum membuat keputusan mengenai siapa dia akan undi.

"Di rumah saya, ada lima orang yang boleh mengundi, tetapi kita belum tahu nak undi siapa," katanya.

Lina Sabaani, 26, yang tinggal di Semporna sepanjang hidupnya, berkata daripada pergaulan dengan rakyat di situ, Shafie dilihat sangat mengutamakan kawasan pilihan raya tersebut.

"Saya rasa saya undi dia juga la," kata Sabaani (gambar).


Lina, lulusan ijazah undang-undang, bagaimanapun berharap lebih banyak peluang pekerjaan untuk para belia di Semporna.

"Kerana tidak banyak peluang pekerjaan, saya terpaksa bekerja sebagai pembantu di sebuah pasar tempatan," kata Lina sambil menegaskan dia lebih suka tinggal di Semporna kerana ia kampung halamannya.

Nurul Fadillah yang berusia 16 tahun pula mengakui bahawa dia tidak memberi keutamaan untuk mengetahui tantang politik. Tetapi remaja itu adalah seorang lagi penduduk tempatan yang telah menyaksikan Shafie yang kerap melawat kawasan itu.

"Dia telah melawat kampung saya dan semasa bulan puasa dia hadiri majlis buka puasa bersama penduduk setempat dan menghulurkan bantuan.

"Orang-orang di sini sayangkan dia," kata pelajar itu, sambil menambah Shafie mengambil tahu kebajikan rakyat dan bergaul dengan rakyat," kata Nurul Fadillah (gambar).


Dan bukan hanya bumiputera yang suka pemimpin tersebut.

Chong Mok Ho, 37, juga membuktikan bahawa Shafie mengambil berat terhadap kawasan pilihan rayanya.

"Dia sayang rakyat. Kalau kami susah dia sentiasa tolong.

"Dia pemimpin yang amat baik. Dia tidak memilih bangsa. Dia sentiasa bergaul dengan orang orang Cina. Kami rasa dia baik," kata Chong (gambar).


Pesara tentera, Abdul Jais Ahmad, 50, sedang berjalan bersendirian di pusat bandar ketika Malaysiakini mendekatinya. Sambil tersenyum lebar, Abdul Jais tidak kelihatan seperti bekas tentera biasa.

Walaupun pada kebiasaannya anggota tentera sehaluan dengan parti pemerintah tetapi Abdul Jais sanggup memberikan WARISAN peluang, dengan memetik sumbangan Shafie di kawasan itu.

"Shafie sudah lama, banyak jasa kepada rakyat semporna. Kita bukan sahaja ada sebuah kolej komuniti, kita jada ada Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan banyak lagi.

"Dan walaupun dalam WARISAN, dia masih datang melawat," kata Abdul Jais (gambar).


MRSM dan kolej komuniti adalah hanya antara beberapa kemudahan awam yang disediakan di Semporna.

Kawasan parlimen itu didiami lebih 133,000 orang - lima kali lebih kecil daripada bandar pentadbiran Selangor di Shah Alam.

Tetapi ia ada hospital sendiri, bangunan mahkamah, perpustakaan, stadium kecil dan bangunan majlis tempatan, semuanya tidak jauh dari pusat bandar Semporna.

Sebahagian besar pembangunan di Semporna telah hasil titik peluh Shafie, yang telah menjadi ahli Parlimen di situ sejak 1995.

Tetapi walaupun ia menjadi kubu kuat yang telah dipegangnya lima penggang berturut-turut, Shafie masih belum mengesahkan sama ada dia akan mempertahankan kerusi itu atau sebaliknya.

Shafie sentiasa memenangi kerusi itu dengan majoriti yang selesa. Dia memperoleh 20,905 undi majoriti dalam pilihan raya umum lepas

Tetapi sekalipun jika dia meninggalkan kerusi itu, pengundi seperti pekerja ladang Azlan Hamid (gambar) berkata mereka masih akan mengundi parti Shafie.


"Kami masih lagi beri kepercayaan kepadanya, dia idola kami," katanya yang berusia 48 tahun.

Menurutnya, Shafie sentiasa memenuhi permintaan yang dibuat oleh penduduk, antaranya Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Pemimpin WARISAN Tempatan Abdul Razak Jiman yang mengetuai kawasan pengundian parti itu di Lihak-Lihak mendakwa banyak kampung di Semporna juga menyuarakan sokongan untuk WARISAN dalam pilihan raya umum akan datang, sama ada Shafie bertanding atau tidak.

"Kami bertanya kepada penduduk kampung tentang ini, alhamdulillah mereka berkata mereka masih akan mengundi kami walaupun jika Shafie bukan calonnya."

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS