Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kerajaan Kelantan mendakwa sekumpulan peniaga Pasar Besar Pasir Puteh enggan berpindah ke pasar baru mungkin akibat termakan hasutan pihak tertentu.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, beliau hairan dengan kedegilan peniaga
untuk berpindah, memandangkan pasar baru yang dinamakan Pasar Siti Hajar itu akan memberikan banyak kemudahan kepada mereka.

"Ada parti seolah-olah mahu menjadi hero dalam kes ini sedangkan ia menjejaskan pendapatan peniaga apabila tidak berpindah di
pasar baru yang kita sediakan," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Malaysiakini semalam melaporkan Persatuan Peniaga Pasar Besar Pasir Puteh yang enggan berpindah ke pasar baru itu walaupun
diberi notis sejak 15 Oktober lalu.

Pengerusinya Kamaruzaman Che Ngah mendakwa pasar baru itu hanya menyediakan satu laluan masuk, terletak di kawasan berisiko
banjir dan lot kedai yang sempit.

Justeru mereka membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana merasakan bangunan baru itu tidak
sepadan dengan kos pembinaan yang didakwa berjumlah RM6.1 juta.

Abdul Fattah berkata beliau yakin pembinaan pasar baru itu mengikut prosedur yang betul dan kerajaan negeri akan memberikan
kerjasama kepada SPRM dalam siasatan nanti.

"Kita tiada masalah jika SPRM mahu menyiasat susulan laporan yang dibuat pihak peniaga semalam kerana kita sentiasa terbuka.

"Bagaimanapun, dakwaan yang dibangkitkan mereka tidak benar kerana kita sudah menambah keluasan (lot kedai) daripada 3x5 kaki
persegi kepada 6x6 kaki persegi," katanya lagi.

Isu ini pada mulanya dibangkitkan Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan. Hari ini, Naib Presiden AMANAH Datuk Husam Musa
mengadakan pertemuan dengan peniaga di Pasar Besar Pasir Puteh.

Dalam pertemuan itu, beliau berkata akan membawa peniaga yang tidak berpuas hati untuk bertemu sendiri dengan Menteri Besar
Datuk Ahmad Yakob bagi mendapatkan penjelasan.

"Selagi peniaga tak puas hati dengan pasar baru, saya minta jangan berpindah lagi.

"Saya ajak persatuan dan peniaga kita pergi berjumpa menteri besar. Kerana apa juga masalah rakyat Kelantan adalah
tanggubgjawabnya," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS