Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bajet Alternatif 2018 Pakatan Harapan (HARAPAN) bukannya bajet populis untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14, sebaliknya realistik untuk dilaksanakan, kata anggota parlimen Kelana Jaya Wong Chen.

Beliau yang juga ketua jawatankuasa Bajet Alternatif HARAPAN memberi jaminan yang ia akan dilaksanakan jika pembangkang menang pada PRU akan datang.

“Bajet ini realistik dan bukan bajet popular, bila kami menang PRU14 kami akan laksanakan.

"Ini bukan langkah populis (untuk menghadapi pilihan raya),” katanya pada sidang media di luar Dewan Rakyat, hari ini.

Menjelang pembentangan Bajet 2018 oleh kerajaan pada Jumaat, HARAPAN hari ini melancarkan bajet bayangan.

Bajet itu antaranya memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan mengembalikan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Dengan jangkaan sumbangan dari GST berjumlah RM42 bilion bagi tahun depan, pengembalian SST hanya akan menjana pendapatan bersih RM16.5 bilion.

Menurut bajet itu, kekurangan RM25.5 bilion akan ditampung dengan menyalurkan hasil yang dikumpulkan ke dalam ekonomi yang akan meningkatkan hasil persekutuan, ekoran peningkatan jual beli pengguna dan perniagaan.

Seperti bajet bayangan sebelumnya, HARAPAN juga mendakwa hasil negara akan dapat ditambah dengan mengekang pembaziran dan rasuah.

"Bagi tahun 2018, kami bertekad untuk menghapuskan RM20 bilion daripada pembaziran dan rasuah dengan memotong bajet Jabatan Perdana Menteri," kata HARAPAN dalam pelan fiskalnya dengan tema "Belanja Berhemah, Potong Cukai, Pilih Harapan".

Antara butiran utama dalam bajet itu adalah:

  • Jumlah peruntukan RM258.52 bilion dengan jangkaan pungutan hasil RM229.44 bilion dan defisit dua peratus.
  • Bajet pengurusan berjumlah RM200.16 bilion manakala bajet pembangunan RM58.35 bilion.
  • RM85.52 bilion diperuntukkan untuk emolumen penjawat awam.
  • Semua kementerian perlu mengamalkan penjimatan dalam penganjuran acara dan program.
  • Peruntukan kepada Jabatan Perdana Menteri dipotong kepada RM8 bilion, berbanding RM22 bilion yang dijangka akan diperuntukkan dalam bajet kerajaan.
  • Pengembalian semula geran RM2 bilion kepada institut pengajian tinggi awam.
  • Peruntukan subsidi minyak RM1 bilion.
  • Peruntukan RM700 juta khas untuk memperbaiki kemudahan di semua jenis sekolah - RM210 juta bagi sekolah kebangsaan dan RM70 juta bagi setiap jenis sekolah lain.
  • Meneruskan pengagihan BR1M, namun dengan syarat penerima mempunyai pekerjaan sekurang-kurangnya 3 bulan sebelum pengagihan. Syarat itu dikecualikan untuk pesara dan orang kelainan upaya.

Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS