Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Apa muslihat Putrajaya rahsiakan kos Najib ke AS?

PARLIMEN lAngota Parlimen Seremban, Anthony Loke, hari ini membangkitkan persoalan mengapa kerajaan menyembunyikan butiran perbelanjaan lawatan Datuk Seri Najib Razak dan delegasinya ke AS September lalu.

Loke berkata ada kemungkinan langkah berkenaan dibuat bagi mengelakkan kemarahan rakyat terhadap Putrajaya.

"Saya telah membangkitkan soalan mengenai perbelanjaan perdana menteri dan delegasinya ke AS September lalu, khususnya di Hotel Trump International di Washington.

"Sekali lagi menteri di Jabatan Perdana Menteri tidak faham soalan dan tidak mahu menjawab soalan itu secara spesifik.

"Apakah yang ingin disembunyikan kerajaan mengenai kos perbelanjaan tersebut?

"Adakah kos itu terlalu tinggi dan tidak dapat dijustifikasikan, atau perbelanjaan untuk penginapan itu terlalu mewah yang akan menimbulkan kemarahan rakyat?" katanya semasa sidang media di parlimen hari ini.

Terdahulu Loke dalam soalan lisannya meminta perdana menteri memberikan butiran terperinci kos penginapan dan jumlah bilik yang ditempah mengikut pecahan kategori berlainan di Hotel Trump International Hotel yang dimiliki Presiden Donald Trump selepas mereka mengadakan pertemuan di Rumah Putih.

Adakah nak mengampu Trump

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said melalui jawapannya Isnin lalu cuba memberitahu perbelanjaan pada September lalu "mengikut kadar yang ditetapkan dari semasa ke semasa".

Azalina berkata perbelanjaan antara 9 hingga 16 September lalu dibuat berdasarkan Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 berkaitan kemudahan elaun dan keistimewaan perdana menteri.

"Perbelanjaan tersebut adalah meliputi perbelanjaan penerbangan, pengangkutan, elaun makan, dobi, telefon dan lain-lain.

"Perbelanjaan perdana menteri dan ahli rombongan adalah mengikut kadar yang ditetapkan dari semasa ke semasa," katanya di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Loke berkata kos penginapan di hotel berkenaan sepatutnya amat mahal kerana kadar penginapan di bilik biasa pun boleh menelan belanja sehingga RM20,000 untuk satu malam.

Selain faktor kos, katanya, persoalan juga timbul, mengapa delegasi Najib memilih hotel berkenaan ketika mereka tahu ia adalah milik Trump.

“Ini bukan usaha menimbulkan persoalan sama ada Najib sengaja nak mengampu Trump, tetapi juga wujud konflik kepentingan.

"Undang-undang AS melarang presiden mereka mempunyai apa-apa kepentingan peribadi dengan pemimpin negara asing yang datang bertemu presiden itu,” kata Loke.

Tambahnya, persoalan juga timbul mengapa Najib tidak menginap di bangunan Blair House yang merupakan penginapan untuk tetamu rasmi AS.

"Selain itu kenapa perdana menteri Malaysia tidak diberikan layanan sebagai tetamu negara oleh kerajaan AS.

“Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong ketika ini diberi layanan rasmi yang istimewa termasuk menginap di Blair House yang merupakan penginapan rasmi, dengan segala kos ditanggung oleh kerajaan AS.

“Trump juga mengadakan sidang akhbar bersama Lee di Rose Garden, Rumah Putih.

"Adakah Najib diberikan layanan sama? Kita tahulah apa layanan yang telah diberikan,” soal Anthony merujuk lawatan rasmi Hsien Loong ke AS minggu ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS