Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) akan mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berhubung dakwaan bahawa firma itu menubuhkan sebuah anak syarikat baru bagi tujuan pembelian hotel di London, semalam.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata dakwaan yang dibuat Rafizi itu jelas satu fitnah.
"Esok FIC akan mengadakan mesyuarat lembaga pengarah yang secara kebetulan akan turut sama membincangkan perkara itu tetapi bukan semata-mata kerana pendedahan oleh Rafizi," kata Shahril dalam sesi penjelasan kepada pihak media di Parlimen hari ini.
Shahril terdahulu diminta mengulas apakah tindakan FIC berhubung dakwaan terbaru Rafizi itu.
Semalam Rafizi yang juga anggota parlimen Pandan mendakwa bahawa anak syarikat FIC itu hanya didaftarkan pada 13 Oktober iaitu pada hari sama beliau membuat pendedahan mengenai firma itu tidak memiliki hotel di London.
Namun, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim mempertikaikan dakwaan itu.
Sebaliknya Razali berkata ia adalah salinan dokumen pendaftaran syarikat yang disahkan sebagai salinan sebenar pada 13 Oktober.
Rafizi pada pada tarikh berkenaan mendakwa Hotel Grand Plaza Kensington dimiliki syarikat yang didaftarkan di British Virgin Islands (BVI) yang dinamakan FIC London Hotel (Private) Limited. (Nota editor: Dibaca sebagai "BVI FLH" untuk kejelasan.)
Rafizi mendakwa bahawa BVI FLH tidak dimiliki oleh FIC atau Felda.
FIC, bersama Shahrir dan Razali menafikan perkara itu pada sidang akhbar Ahad lalu, dengan mengatakan bahawa ia memiliki FLH.
Razali dalam sesi penjelasan itu berkata, Rafizi sudah begitu “obses”.
"Dia daripada dulu pun banyak perkara yang dibina sebuah andaian yang dia percaya bahawa ia adalah benar.
"Kita ambil contoh Tabung Haji dia bina satu cerita ada pendeposit bawa keluar duit, NFC sampai ke mahkamah dia putuskan bahawa apa yang dicerita itu tidak betul dan Felda termasuk 1MDB dibina satu cerita disebabkan maklumat yang diperolehi sebab dia obses, sebab mungkin dia rasa dia yang terbaik dalam percukaian di negara ini.
"Dia tahu tentang perakauan maka dia bina satu cerita sebagai satu perkara yang dia percaya benar," kata Razali.
Menurutnya, sikap Rafizi yang seringkali membina andaian terhadap apa yang dipercayai beliau menimbulkan kerisauan kepada pihak yang percaya dengan apa yang dinyatakannya.
"Saya rasa kecewa sebab semalam ramai yang tengok dia punya FB live tapi sebenarnya dia cakap sorang-sorang tapi semua orang dengar.
“Saya tak risau tentang saya dan apa yang kami buat cuma saya risau orang yang mendengar itu yang sampai hari ini percaya cakap-cakap dia yang tak betul, orang yang dengar semalam pun sampai hari ini marah pada saya dan Shahril, hina kami.
"Saya tak marah tapi kepercayaan dia terhadap apa yang dibuat Rafizi itu yangsaya risau akan ramai rakyat kita yang akan terus percaya dan kalau tak dibetulkan sampai mati dia akan menghukum orang yang salah," katanya.