Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS mahu AMANAH kosongkan Wisma Tok Guru sebelum 16 Nov

Pemuda PAS Kelantan menafikan tindakannya memasang bendera di kawasan Wisma Tok Guru di Kampung Pendek, Salor, Kota Bharu malam tadi bagi melakukan provokasi terhadap Parti Amanah Negara (AMANAH).

Sebaliknya, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS negeri, Nazman Che Iberahim berkata pihaknya hanya mahu menyampaikan mesej kepada AMANAH supaya mengosongkan bangunan tersebut selewat-lewatnya 16 November depan.

Beliau juga mendakwa AMANAH cuba mengingkari notis tersebut apabila bercadang mengadakan program pelancaran jentera pilihan raya parti itu bulan depan di wisma berkenaan.

"Notis pengosongan telah dikeluarkan pada 15 Oktober lalu. Mereka tiada alasan untuk ingkar kerana jelas tanah dan bangunan tersebut adalah milik PAS.

"Jadi apabila kita meletakkan bendera di kawasan wisma itu ia adalah satu petanda bahawa dengan apa cara sekalipun pada 16 November depan, kita tidak mahu lagi melihat kelibat AMANAH," katanya ketika dihubungi di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan berlaku ketegangan membabitkan penyokong PAS dan AMANAH berhubung isu perebutan premis tersebut malam tadi.

Isu mengenainya sebelum ini mula ditimbulkan oleh ADUN Meranti, Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang mendakwa tapak tanah dan bangunan berkenaan adalah milik kerajaan negeri.

Bagaimanapun perkara itu dinafikan ADUN Salor, Datuk Husam Musa yang mendakwa beliau diberi kebenaran oleh ADUN terdahulu, Allahyarham Datuk Rosli Ibrahim untuk menggunakan tapak itu melalui satu notis.

Kemelut perebutan itu kembali rancak sejak pertengahan bulan ini selepas AMANAH Kelantan dikatakan menerima notis daripada seorang ahli PAS yang dikatakan pemilik baru tanah bangunan tersebut.

Difahamkan, tanah milik balu kepada Rosli itu telah dijual kepada PAS menerusi ahli berkenaan dengan harga RM700,000.

Husam yang juga penasihat AMANAH Kelantan menegaskan beliau akan mencabar arahan mengosongkan bangunan berkenaan dengan memfailkan kes itu ke mahkamah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS