Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menetapkan 22 November untuk mendengar permohonan portal Malaysiakini bagi membatalkan saman fitnah yang difailkan oleh Presiden Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Setiausaha Kerjanya, Datuk Abdul Rauf Yusoh.
Saman yang difailkan pada 2014 adalah berhubung komen pembaca mengenai kemelut politik di Terengganu.
Tarikh itu ditetapkan di kamar oleh Hakim Datuk Wira Kamaludin Md Said susulan pengurusan kes hari ini.
Keputusan itu disampaikan oleh peguam Nor Hazira Abu Haiyan yang mewakili Najib dan Abdul Rauf.
Najib dan Rauf memfailkan saman terhadap penerbit Malaysiakini, Mkini Dotcom Sdn Bhd, Ketua Pengarang Kumpulan Steven Gan dan ketua pengarang sebelum ini Fathi Aris Omar.
Mereka mendakwa semua defendan telah melaporkan, mengeluarkan dan membenarkan penerbitan dua artikel bertajuk "A case of the PM reaping what he sows" dan "How much will Najib spend to keep Terengganu?" di bawah ruangan Yoursay dalam laman portal Malaysiakini.
Kedua-dua plaintif juga mendakwa komen-komen dalam artikel-artikel itu tersirat sindiran untuk menunjukkan bahawa Umno tidak cekap sebagai badan politik dan tulang belakang kerajaan BN.
Mereka mendakwa perkataan fitnah telah juga direka untuk mencerminkan Umno sebagai menyalahgunakan kuasa demi kepentingan parti dan ia sebuah parti yang tidak demokratik dan sengaja dicipta situasi yang tidak diingini.