Orang politik boleh bercakap apa saja mengenai isu 1MDB atau mengecam Datuk Seri Najib Razak dari pagi sampai petang, namun penduduk di Sabah bukan seperti di semenanjung.
Berbezanya dua masyarakat yang dipisahkan oleh Laut China Selatan itu ialah, bagi penduduk Sabah keutamaan mereka ialah hal-hal keperluan seharian bagi menampung tuntutan mencari rezeki.
Jika skandal 1MDB diceritakan kepada penduduk di luar bandar mereka mungkin tidak tahu pun apa yang berlaku.
Sekurang-kurangnya itu yang dilihat seorang penduduk Kota Kinabalu yang ditemui Malaysiakini baru-baru ini.
"Mungkin mereka berpelajaran tinggi akan faham. Selebihnya apa yag mereka mahu ialah wang, tangki air, kediaman daripada projek perumahan rakyat termiskin (PPRT), gas, beras dan gula," kata Awang Asgali yang berasal dari Kinabatangan.
Pandangan itu dikongsi lelaki dari Tuaran, Aman Mohd Zain.
Kata Aman, orang Sabah tidak mengambil peduli tentang isu-isu di semenanjung.
"Yang orang Sabah kisah ialah hak-hak mereka, hak Sabah.
"Ia macam rumah kita sendiri - duit kena pegang sendiri, baru boleh nampak rumah cantik, boleh buat perubahan.
"Tapi apabila orang lain pegang duit kita, nak buat rumah cantik, susah. Macam itulah Sabah perlukan," katanya.
Suatu laporan mengenai sasaran pembangunan dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada tahun lalu mendapati kemiskinan membelenggu satu daripada lima isi rumah bumiputera Sabah.
Buat dua tiga kerja
Bagaimanapun, menurut Jabatan Perangkaan, purata pendapatan bullanan isi rumah di Sabah meningkat daripada RM4,879 pada 2014 kepada RM5,354 pada 2016.
Pada peringkat individu, purata pendapatan bulanan rakyat Sabah pada 2016 ialah RM1,723 dan ia adalah paling rendah di negara ini.
Pemandu perkhidmatan Grab, Lim Ket Siong, ialah contoh penduduk Sabah yang terpaksa bergelut untuk memenuhi keperluan sehariannya ketika ini.
Mengakui kenaikan harga barang menyebabkan tekanan kepada hidup orang ramai, Lim berkata, kebanyakan penduduk Sabah yang memperolehe pendapatan kurang daripada RM1,000 sebulan memang tertekan.
"Ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang," katanya.
Dia sendiri terpaksa membuat beberapa pekerjaan untuk mencari pendapatan tambahan.
Harapan Lim juga agak sederhana. Bagi pemuda berusia 23 tahun itu dia mahu kerajaan akan datang lebih bersimpati dengan memberikan banyak pelepasan cukai kepada peniaga.
"Bisnes ni, kalau selepas tolak cukai pendapatan berapa saja yang tinggal?" katanya.
Sementara itu Naib Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Junz Wong, mengakui langkah bergantung kepada isu 1MDB dan kepimpinan Najib untuk mengumpul sokongan adalah sia-sia.
"Memang 1MDB memberi kesan (kepada Sabah) tapi pada tahap minimum. Ramai orang sibuk mencari rezeki untuk keperluan harian.
Ekonomi tak memuaskan
"Mereka perlu berdepan dengan kesukaran ini berbanding memikirkan tokoh yang mereka tidak boleh bayangkan dengan sebenarnya.
"Jadi tak ada sebab untuk bercakap mengenai isu seperti itu. Sudah cukup baik orang politik bercakap mengenainya di parlimen," katanya.
Nampaknya pendekatan WARISAN menumpukan hal-hal setempat memang membuahkan hasil.
Sesetengah penduduk Sabah mengakui mereka bersikap terbuka untuk memberi peluang kepada WARISAN mentadbir negeri itu kerana parti terbabit berjanji untuk memperjuangkan hak-hak Sabah.
Ditemui di majlis WARISAN di Tenom, Ruidah Kudis berkata, dia berharap parti itu akan memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) jika berjaya membentuk kerajaan pada pilihan raya umum akan datang.
Kata surirumah berusia 27 tahun itu walaupun di sesetengah tempat kemudahan asas dapat dinikmati penduduk tempatan tiada pembangunan berjalan di bawah kerajaan sekarang.
"Di kampung saya sudah berapa tahun BN pegang kerajaan tetapi tak banyak perubahan berlaku, masih macam di zaman dulu," katanya.
Bapa kepada dua anak, Stanley Kok Wenn Ru, apa yang diingininya ialah lebih banyak peluang pekerjaan "demi masa depan yang lebih baik".
Mengendalikan perniagaan sendiri ketika ini Kok tidak berpendapat keadaan ekonomi sekarang berada dalam keadaan baik.
"Sebagai seorang ketua keluarga yang bekerja sendiri, saya kena tanggung semua keperluan.
"Ekonomi yang ada sekarang tak memuaskan. Sebab itu saya mahu cuba ubah prinsip kami sebagai rakyat Sabah untuk dapat lebih banyak kebaikan dalam ekonomi," katanya.
Seperti Ruidah, Kok, 27, yakin Datuk Seri Shafie Apdal yang mengetuai WARISAN mampu mengubah keadaan di Sabah.
Bekas anggota Umno, Awang Tahir, 59, berkata BN memang membawa pembangunan dan peluang pekerjaan di negeri itu.
"Tapi sekarang nampak ketara harga barang naik kerana GST, pengangguran bertambah. Jadi kita terpaksa berubah.
"Di Malaysia yang mengamalkan demokrasi ini, kalau sesebuah parti sudah diluluskan pendaftarannya kita boleh lihat mana satu parti yang kuat dan kita ikutlah," katanya.