Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan bahawa beliau menghina keseluruhan keturunan Bugis dalam ucapannya ketika perhimpunan anti-Kleptokrasi Sabtu lalu.
Bercakap di hadapan 2,000 penyokongnya di Alor Setar malam tadi, Mahathir berkata kenyataan yang dibuatnya hanya merujuk kepada “perompak yang mencuri wang rakyat”.
“Saya tak hina orang Bugis, orang Bugis ada yang baik, tapi penyangak pun ada juga....
“Salah ke (cakap begitu)? Takkan orang Bugis nak kata kalangan orang Bugis tak ada penyangak, ada,” kata Mahathir dalam ucapan di majlis rapat umum di Dataran Stargate di Alor Setar malam tadi.
Dr Mahathir yang juga pengerusi Pakatan Harapan semasa Himpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi di Padang Timur, Sabtu lepas, dilaporkan menyebut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mungkin berasal dari 'lanun Bugis' yang sesat ke Malaysia dan memintanya balik ke Bugis.
Kenyataan Dr Mahathir itu membawa kepada perhimpunan protes oleh Persatuan Perpaduan Rumpun Bugis Melayu Malaysia (PPRBMM) di hadapan Yayasan Kepimpinan Perdana 18 oktober lalu.
Mereka dilaporkan mendesak Dr Mahathir memohon maaf dan menarik balik kenyataannya yang menyifatkan Bugis sebagai 'lanun'.
“Tetapi orang (itu berhimpun) pada hari Deepavali. Hari itu pejabat saya tutup," katanya.