MCA berpendapat Umno dan PAS kini sedang giat saling 'menggoda' antara satu sama lain dan ia berpunca daripada pengundi Cina menyokong DAP pada pilihan raya umum (PRU) lalu.
Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata oleh sebab itu masyarakat Cina di negara ini perlu kembali menyokong MCA pada PRU ke-14 bagi menghentikan amalan politik perkauman dan agama.
"Adakah Umno akan bekerjasama dengan PAS? Mereka saling menggoda satu sama lain sekarang. Semua orang boleh nampak.
"Negara ini (jadi begini sekarang) sebab pengundi Cina secara beramai-ramai bergerak ke satu sisi (mengundi) DAP.
"Dalam keadaan itu kedua-dua parti (Umno dan PAS) akan saling memikat antara satu sama lain," katanya.
Tanpa sokongan pengundi Cina kata presiden ke-10 MCA itu keadaan berkenaan hanya akan membawa kepada kerajaan teokrasi (sistem pemerintahan menggunakan hukum-hakam agama sebagai dasar pemerintahan negara).
"Kita tak mahu lihat ini terjadi. MCA akan cuba sedaya upaya menghentikannya daripada terjadi," katanya.
Liow berkata demikian semasa berucap di Sidang Kemuncak Belia Cina Malaysia di Serdang hari ini.
Jangan cuba uji
Sejak meninggalkan gabungan pembangkang, PAS didakwa bersikap lebih lunak kepada Umno berbanding sebelum ini, dan lebih berkeras dengan DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan PKR.
Pada masa sama Umno juga dilihat tidak lagi giat menyerang PAS sebaliknya menumpukan perhatian ke arah Pakatan Harapan yang dianggotai PKR, DAP, AMANAH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Dalam keadaan itu PAS menegaskan mereka membawa amalan politik matang dan sejahtera, tetapi sama sekali tidak akan bersatu dengan Umno.
Menurut PAS mereka kekal sebagai parti pembangkang namun sedia bekerjasama dengan sesiapa saja demi kepentingan Islam.
Menurut Liow MCA boleh menghalang proses Islamisasi Malaysia jika pengundi Cina memberikan sokongan penuh kepada parti itu apabila PRU ke-14 berlangsung.
"Ramai orang kata MCA sudah tidak lagi relevan. Itu salah. MCA sekarang parti kedua terbesar...
"Sekurang-kurangnya kita sudah memastikan negara ini ditadbir mengikut prinsip pluralisme, moden dan harmoni selama 60 tahun," katanya.
Sebagai contoh kata anggota parlimen Bentong itu, bantahan daripada MCA menyumbang kepada keputusan Umno membatalkan sokongan terhadap rang undang-undang dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda peruntukan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 baru-baru ini.
"Kita menunjukkan kesungguhan dan perpaduan. Kita katakan kepada Najib dan Umno, ini adalah had kita dan jangan cuba mengujinya. Kita akan berjuang sehingga ke akhir," katanya.