Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu menyarankan supaya sejarah kemerdekaan negara ini ditulis semula dengan memasukkan beberapa fakta baru.
Kata Mohamad kemerdekaan negara ini bukan hanya diperjuangkan oleh tokoh tertentu seperti lazim dinyatakan iaitu Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, Datuk Onn Jaafar dan pemimpin Umno semata-mata.
Malah katanya kemerdekaan turut dicapai melalui perjuangan dan pengorbanan tokoh masyarakat yang kurang diperkatakan termasuk Dr Burhanuddin al-Helmy, Ibrahim Yaakob, Ahmad Boestamam, Abu Bakar al-Baqir dan ramai lagi.
Turut berkorban untuk memerdekakan negara, kata Mohamad, ialah Mat Indera seperti disebutnya pada satu ceramah di Padang Menora Pulau Pinang pada 2011.
"Saya membangkitkan persoalan, kenapa pegawai British (yang menjajah negara) disanjung sebagai pejuang kememerdekaan manakala yang melawan British dianggap sebagai pengganas.
"Peristiwa ceramah saya itu kemudian dibawa ke mahkamah oleh pemerintah," katanya hari ini.
Kenyataan beliau itu dibuat selepas Mahkamah Rayuan di Putrajaya menolak rayuan kerajaan berhubung tuduhan ke atasnya mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu membabitkan tuduhan membuat fitnah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya.
Selepas dibicarakan di Mahkamah Sesyen Butterworh, hakim membebaskan Mohamad tanpa perlu dipanggil membela diri namun pendakwa membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.
Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang sekali lagi membuat keputusan yang memihak kepada Mohamad, mendorong kerajaan membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan.
British perintah negara
Siang tadi Mahkamah Rayuan membebaskan Mohamad daripada dua pertuduhan dan mengekalkan pembebasan ke atasnya.
Datuk Tengku Maimun Tuan Mat mengetuai tiga hakim yang bersidang. Dua lagi hakim ialah Datuk Ahmadi Asnawi dan Datuk Rhodzariah Bujang.
Dalam keputusan sebulat suara itu, Tengku Maimun berkata mahkamah mendapati tiada sebab untuk menyimpang daripada alasan yang dibuat Mahkamah Tinggi Pulau Pinang bahawa pertuduhan yang dikenakan terhadap Mohamad adalah cacat.
“Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dan hakim perbicaraan tidak tersalah arah untuk menyimpulkan bahawa pihak pendakwaan tidak cukup membuktikan kes prima facie,” katanya.
Kata Mohamad tuduhan yang dikenakan padanya sebelum ini bertujuan untuk membangkitkan kemarahan pasukan polis dan tentera selepas isu itu dieksploitasi oleh media arus perdana.
Semasa ceramahnya Mohamad berkata sejarah insiden serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong "ditutup" dengan menggambarkan anggota keselamatan British itu digambarkan sebagai wira, manakala penyerang adalah penjahat.
"Sebelum merdeka negara kita diperintah oleh British, tapi dia buat filem yang hero (ialah orang yang) pertahan balai polis, (yang) serang tu pengganas, padahal Mat Indra ketua penyerang balai polis tu (adalah wira) dan akhirnya dia dihukum gantung.
"Begitulah juga Tok Janggut. Tok Janggut ni lawan British, tapi sebelum British nak bunuh dia, dia (dituduh) menghasut Sultan Kelantan untuk mengishtiharkan Tok Janggut sebagai penderhaka.
"Apabila isytihar Tok Janggut sebagai penderhaka, barulah Tok Janggut dihukum gantung di Pasir Puteh Kelantan. Semua sejarah negara kita bohong..." katanya.
Menurut Mohamad Mat Indera wajar diiktiraf sebagai salah seorang pejuang kemerdekaan.
"Maka kita akui sejarah yang ditulis - termasuk oleh kerajaan Johor - bahawa Mat Indera juga adalah salah seorang pejuang kemerdekaan," katanya.
Semasa perbicaraan Mohamad diwakili peguam Hanipa Maidin, Aminuddin Zulkifli dan Nasar Khan.