Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS tetap tuntut RUU355 dibahas segera
Diterbitkan:  Oct 19, 2017 1:59 PM
Dikemaskini: 6:06 AM

PAS mendesak perbahasan mengenai rang undang-undang persendirian presiden mereka untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 diberi ruang pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata tidak wajar perbahasan mengenai rang undang-undang (RUU) itu dihentikan atas apa alasan sekali pun.

"Perbahasan harus diteruskan sehingga akhir mengikut prosedurnya walaupun tidak boleh disempurnaka pada sesi parlimen kali ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PAS bertegas mahu meminda akta itu - yang turut dikenali sebagai Akta 355 - bagi memberikan kuasa lebih besar kepada kerajaan negeri menguatkuasakan hukuman berkaitan jenayah syariah.

Melalui pindaan itu had hukuman maksimum dinaikkan daripada penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam kali sebatan menjadi 30 tahun penjara, denda RM100,000 dan 100 kali sebatan.

Sebahagian pengkritik menganggap rang undang-undang pindaan itu membuka ruang kepada pelaksanaan hudud namun PAS membuat penafian mengenainya.

Di sebalik isu itu usul dibawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu membawa kepada perpecahan di kalangan pembangkang ketika tarikh pilihan raya umum (PRU) semakin menghampiri.

Ia dibentangkan Abdul Hadi pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat pada 6 April lalu dan disokong Takiyuddin.

Bagaimanapun Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan sidang berkenaan kira-kira jam 4 petang walaupun sebelumnya sidang berlangsung sehingga awal pagi.

Pada 15 Okt lalu Malaysiakini melaporkan pemimpin PAS berpendapat usul itu ditangguhkan sehingga lepas PRU ke-14 jika ia tidak mendapat sokongan Umno ketika ini.

Mesti sokong usul

Ketua Dewan Ulamak PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata jika boleh parti itu mahu usul meminda Akta 355 itu dibentang dan diluluskan.

“Jadi (untuk capai kemenangan itu), kita kena buat perkiraan. Kalau orang Umno, bahkan Islam yang lain tidak sokong, lebih baik tangguhkan dulu,” katanya.

Mengulas cadangan itu bekas pengerusi biro undang-undang PAS Hanipa Maidin secara bersahaja menganggap usaha parti berkenaan meminda Akta 355 itu seperti "buku 555".

"(Ada) arang menulis persamaan RUU355 dengan buku 555. Katanya buku 555 (untuk) makan dulu tangguh bayar. RUU355 pula bentang dulu tangguh bahas. Kan tak jauh?" katanya.

Pada 17 Okt Harakahdaily melaporkan kerajaan kelantan tetap berharap RUU355 itu dapat dibahas pada persidangan parlimen akan datang.

Exco Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, berpendapat setiap anggota parlimen beragama Islam mesti menyokong usul itu bagi membolehkan ia diluluskan.

“Saya berharap speakar Dewan Rakyat memberi ruang supaya RUU355 dapat dibahaskan dalam sidang akan datang,” katanya.

Parlimen akan bersidang untuk kali ketiga tahun ini mulai 23 Oktober dan berlangsung selama 25 hari.

Menurut Takiyuddin menangguhkan lagi perbahasan usul berkenaan umpama kes yang dibicarakan di mahkamah.

Kata peguam berpengalaman itu, sesebuah kes tidak akan dihentikan perbicaraannya sehinggalah hakim memberikan keputusan.

"Bezanya (keputusan) parlimen akan ditentukan melalui pengundian anggota parlimen," katanya.

Pindaan itu kata Takiyuddin amat penting kerana ia membabitkan langkah menaikkan bidang kuasa mahkamah syariah, dan ia terpakai untuk orang Islam saja.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS