Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Khalid tuntut bos IKSIM mohon maaf, bayar RM1 juta

Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad hari ini mengeluarkan notis tuntutan tujuh hari kepada Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Prof Datuk Mahamad Naser Disa atas dakwaan membuat kenyataan fitnah terhadapnya.

Khalid berkata, Mahamad Naser selaku penceramah di sebuah program anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 28 September lalu memfitnahnya menentang Rang Undang-Undang 355 (RUU355) semasa membentangkan kertas kerja di sebuah masjid di Bukit Jelutong.

“Saya nak bagi tahu dia, kalau dia mengharapkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bersama dia untuk hadapi saman daripada saya atau dia mengharapkan exco agama untuk bela dia berdasarkan surat JAIS hantar, saya minta maaf dia tak akan dapat perlindungan daripada JAIS.

“Saya juga yakin tidak juga daripada exco agama (bersama dia). Saya nasihatkan dia, tak payah bawa ke mahkamah, terima surat yang kita beri ini.

"Buat permohonan maaf, runding dengan saya tentang soal pampasan dan ganti rugi daripada nak hadapi mahkamah dan dimalukan dalam mahkamah kerana tuduhan dia buat dalam masjid jelas satu pembohongan atau fitnah," kata Khalid pada sidang media di pejabatnya di Shah Alam, hari ini.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH) itu berkata, notis tuntutannya mengarahkan Mahamad Naser untuk membuat permohonan maaf secara terbuka di dalam akhbar perdana dan membayar RM1 juta sebagai pampasan dalam masa tujuh hari atau berdepan tindakan undang-undang.

Khalid berkata tuduhan yang dibuat oleh Mahamad Naser itu dianggap sebagai memfitnahnya kerana RUU355 masih lagi tidak diluluskan dan belum dibahas di parlimen.

Malah katanya, kenyataan Mahamad Naser itu juga adalah sebahagian strategi Umno dan BN untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

"Tujuan untuk burukkan Pakatan Harapan atau parti anggota kononnya kita anti Islam. Dia bawa isu RUU355 sedangkan kita tengok RUU355 PAS pun tak nak bawa, bukan kami.

"Yang tunda perbahasan pun PAS kerana nak bertanding 130 kerusi lepas tu nak undi bukan Melayu. Ini corak politik yang tidak amanah dan tidak telus," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS