Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDS Baru) mahu kerajaan negeri mengembalikan peruntukan Seksyen 5 (2) (f) Kanun Tanah Sarawak (Bab 81) untuk menyesaikan perkara-perkara berkaitan tuntutan Tanah Adat Bumiputera (Native Customary Rights-NCR).
Ketua Pemudanya, Rapelson Richard Hamit berkata langkah mengembalikan peruntukan tersebut ialah untuk menyelesaikan komplikasi berhubung “pemakai menoa” (sempadan Tanah Hak Adat) dan “pulau galau” (hutan komunal asli) yang dihadapi oleh masyarakat pribumi dalam mewujudkan tuntutan Hak Tanah Adat (NCR).
Hak tanah adat bumiputera diwujudkan mengikut peruntukan Seksyen 5 (2) (f). Ia menyatakan bahawa hak-hak berkenaan boleh didapati melalui “mana-mana kaedah lain yang sah”.
Seksyen 5 (2) (f) Kanun Tanah Sarawak dimansuhkan sejak 17 tahun lalu pada 2000.
Rapelson berkata dengan mengembalikan Seksyen 5 (2) (f) 'mana-mana kaedah yang sah' memberikan masyarakat pribumi Sarawak hak eksklusif kepada pemakai menoa, 'pi’muung (Sempadan Tanah Hak Adat – definisi Bidayuh Singai) dan Pulau Galau.
"Oleh itu, dengan mengembalikan Seksyen 5 (2) (f), hak-hak dan adat akan mempunyai kuasa undang-undang atas tuntutan masyarakat Pribumi terhadap 'Pemakai Menoa' dan 'Pulau Galau' dan definisi lain NCR sebagai Hak Tanah Adat, kata beliau.
Beliau mengulas kes terbaharu melibatkan Tuai Rumah Nyutan, yang kalah kes tuntutan NCR terhadap TH Pelita Sadong Sdn Bhd dan TH Pelita Gedong Sdn Bhd (Syarikat-syarikat TH), RHB Bank Islamic Berhad dan Lembaga Pembangunan dan Perlindungan Tanah (LCDA) Sarawak serta kerajaan negeri Sarawak.
Raphaelson berkata kedua-dua timbalan ketua menteri Sarawak – Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Tan Sri Dr James Jemut Masing, kedua-dua mereka kaum Iban supaya melakukan sesuatu mengenai perkara tersebut.
“Jika kedua-dua mereka serius untuk melindungi hak tanah NCR, mereka harus membentangkan satu Rang Undang-undang untuk mengembalikan Seksyen 5(2)(f) pada persidangan dewan undangan negeri akan datang. Ini sepatutnya menjadi penyelesaian,” kata Rapelson.
-Bernama