Pihak berkuasa sedang berusaha membina satu lagi kemudahan penyimpanan sementara bagi menangani sisa radioaktif memandangkan kemudahan sedia ada dijangka digunakan sepenuhnya menjelang 2025.
Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia Dr Mohd Ashhar Khalid berkata kemudahan sedia ada, satu-satunya di negara ini yang dibina kira-kira 30 tahun lepas kini menghampiri tahap kapasiti penuh.
“Sudah ada rancangan untuk membina satu lagi kemudahan. Kami telah mengenal pasti tapak dan memohon dana untuk tujuan ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat penyelaras mengenai kawalan sumber radioaktif melibatkan lebih 20 negara di Kuala Lumpur hari ini.
Antara perkhidmatan yang disediakan di kemudahan pada masa ini di Bangi ialah penyimpanan sisa pepejal dan cecair organik, loji rawatan sisa aqueous aras rendah, pemampat sisa untuk mengurangkan isipadu sisa serta membuka dan menyediakan peralatan sumber terkedap terpakai.
Mohd Asshar berkata agensi itu sedang mengkaji pembangunan yang dikenali sebagai Kemudahan Pelupusan Lubang Gerek sebagai satu kaedah baharu untuk membuang sisa radioaktif secara berkesan di negara ini.
Beliau berkata sistem ini biasanya digunakan di negara kuasa nuklear.
”Ini adalah penyelesaian jangka panjang untuk sisa radioaktif, kami perlu melihat kesannya pada tanah dan air bawah tanah. Ia bukan mudah kerana kami perlu jalankan penilaian keselamatan,” katanya.
Beliau berkata kajian itu, yang pertama seumpamanya dilakukan di ASEAN, dibiayai oleh Kesatuan Eropah dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan akan mengambil masa kira-kira 10 tahun untuk disiapkan.
-Bernama