Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sultan Johor: Kalau semua tak boleh, lebih baik duduk dalam gua
Diterbitkan:  Oct 15, 2017 4:39 PM
Dikemaskini: 4:13 PM

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah menegur pelbagai amalan berasaskan agama yang kadangkalanya tidak praktikal, memaklumkan ia boleh menjadi tidak munasabah untuk hidup dalam masyarakat sedemikian.

Baginda bertitah menjelaskan isu dobi mesra Muslim sahaja yang enggan menerima pelanggan bukan Islam dengan alasan 'kesucian'.

"Saudara-saudara fikir lah sendiri. Bagaimana pula, dengan tempat duduk di tempat awam. Yang mungkin dijilat anjing, atau bantal dan selimut di hotel yang mungkin terkena najis.

"Perkara ini tidak akan berakhir. Kalau semua sudah tak boleh, maka nasihat saya, lebih baik duduk seorang di dalam gua dan tak perlu hidup masyarakat," titah ucapan baginda dalam majlis konvokesyen ke 17 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Batu Pahat semalam.

Sebuah video titah ucapan baginda dimuat naik ke laman rasmi Facebook Sultan Ibrahim.

 

Titah Sultan Ibrahim lagi nota ringgit mungkin telah bersentuhan dengan para penjual arak dan daging khinzir.

"Adakah kerajaan perlu mengeluarkan duit yang mesra Muslim?" Soal baginda.

Menyentuh dobi mesra Muslim itu lagi, baginda telah bertitah mengarahkan agar amalan itu dijauhi. Titah Sultan Ibrahim lagi amalan sedemikian hanya akan memecah-belahkan masyarakat.

"Sebagai ketua agama negeri, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk kekalkan keamanan dan perpaduan rakyat yang berbilang kaum dan agama di negeri ini.

"Oleh itu, apa juga perkara yang saya rasa boleh membawa kepada perpecahan akan diambil tindakan dengan segera."

Baginda menambah amalan tersebut sebagai 'ekstrim'. Baginda menekankan bahawa Islam menjunjung keharmonian dan mengajak berbuat baik kepada orang lain walaupun bukan daripada agama yang sama.

"Pemikiran sempit ini bukan cara masyarakat Islam di Johor," titah baginda.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS