Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad hari ini mencabar Nga Kor Ming membuktikan setiap nama daripada 165,000 pemilih yang didakwanya pengundi hantu itu adalah memang tidak wujud, kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Katanya jika Pengerusi DAP Perak itu gagal membuktikan dakwaannya, beliau perlu memohon maaf kepada masyarakat kerana berbohong bagi mendapat sokongan pengundi.
"Tolong buktikan kepada SPR bahawa 165,000 nama (dengan) setiap satu (nama) adalah pengundi hantu, jangan main celup (pilih), semborono atau secara rawak.
"Buktikan orang itu adalah pengundi hantu dalam maksud sebenar iaitu orang itu tidak wujud tetapi namanya ada,” katanya dalam sidang media di Ipoh hari ini.
Saarani mengulas kenyataan Nga baru-baru ini yang mendakwa pihaknya mempunyai bukti mengenai kewujudan lebih 165,000 pengundi hantu dibawa masuk ke Perak menjelang pilihan raya umum ke-14.
Minggu lepas, Nga melalui laman Twitter miliknya, mendakwa BN telah membawa 56,323 pengundi hantu ke Perak.
Mengulas lanjut, Saarani berkata beliau percaya selepas ini jumlah pengundi hantu yang didakwa pembangkang akan meningkat sehingga 200,000 kerana mereka semakin gusar akan kekalahan yang akan dialami pada pilihan raya akan datang.
“Katanya (pembangkang) jika SPR tidak mahu memutihkan senarai 165,000 pemilih, maka mereka mahu buat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), saya nak cabar silakanlah kerana pada saya masa itu sudah tamat dia patut buat dulu bukan sekarang,” katanya.
- Bernama