Bencana banjir besar pada 2014 lalu cukup memberi pengajaran dan pengalaman buat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, dan kini mereka bersiap-sedia menghadapi kemungkinan berulangannya kejadian itu.
Pengarah JBPM Kelantan, Nazili Mahmood, berkata ramalan berlakunya fenomena monsun Pantai Timur yang dijangka bermula pada bulan ini hingga Disember sudah diambil serius dengan persediaan kelengkapan logistik dan kekuatan anggota.
Menurut beliau, dengan kekuatan 1,127 anggota termasuk bomba bantuan serta sukarela, mereka bersiap sedia digerakkan untuk operasi menyelamat sekiranya banjir besar berlaku.
Malah, pihaknya juga sudah menyediakan aset dan kemudahan mencukupi termasuk 37 bot penyelamat dan tujuh lori untuk ditempatkan di kawasan yang berisiko dinaiki air seperti Gua Musang, Kuala Krai, Rantau Panjang, Pasir Putih dan Jeli berikutan hampir dengan laluan utama Sungai Kelantan.
"Kami sudah melakukan pelbagai latihan dari segi fizikal dan kemantapan mental melibatkan semua anggota selain penyelenggaraan aset seperti bot.
"Melalui kerjasama erat dengan pelbagai agensi keselamatan lain termasuk kerajaan negeri, bilangan anggota dan kelengkapan logistik sudah mencukupi untuk menghadapi situasi banjir berdasarkan pengalaman bah besar pada 2014," katanya pada sidang media di Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, hari ini.
Nazili berkata, sekiranya banjir berlaku cuti semua anggota juga akan dibekukan serta-merta supaya kerja menyelamat boleh dilakukan dengan berkesan.
"Selain itu kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan nelayan tempatan lain supaya bot mereka dapat digunakan sekiranya logistik daripada pasukan keselamatan tidak mencukupi.
"Kami juga mahu masyarakat peka dengan keadaan sekitar supaya dapat menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak bomba bagi membolehkan kerja menyelamat dijalankan dengan pantas," jelasnya sambil menasihati agar orang ramai mengambil langkah berwaspada lebih awal.