Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images

LAPORAN KHAS | Memandu dari Taman Industri Malaysia-China Kuantan (MCKIP) menerusi Kawasan Perindustrian Gebeng dan menuju ke Pelabuhan Kuantan, anda akan melalui sebatang jalan sepanjang 1.8km yang bernama "Jalan Qinzhou".

Qinzhou adalah sebuah bandar di Guangxi, wilayah autonomi di China.

Jalan yang dulu dikenali sebagai "Jalan Gebeng 1/11" itu mendapat nama baru pada 6 April tahun lalu, dan majlis penamaan itu dihadiri Exco Kemudahan Asas dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) Datuk Fadzilla Salleh. 

MCKIP dan Jalan Qinzhou adalah sebahagian daripada program berkembar Kuantan dan Qinzhou. Di sana, Taman Industri China-Malaysia Qinzhou telah dibangunkan dan sebatang jalan di sana juga dinamakan sebagai "Jalan Kuantan".

Tetapi bagi China, pengaruhnya di Kuantan melangkaui sebuah kawasan perindustrian dan nama jalan.

Sejak berkurun dahulu, semenanjung Malaysia memang mempunyai hubungan ekonomi dengan China melalui Laluan Sutra Maritim. Ketika kemuncak kuasa era Dinasti China, kesultanan di sini juga bernaung di bawah lindungannya.

Kembali ke abad ke-21, pengaruh negara itu di rantau ini semakin kuat dirasakan, dengan kebangkitan China sebagai kuasa ekonomi dunia dan biasanya contoh akan dirujuk kepada pelaburan mereka di Johor, seperti projek Forest City

Namun, kemasukan strategik China ke Malaysia bukanlah di selatan, tetapi di pantai timur semenanjung, terutama Kuantan.

Pelaburan China bukan bersifat sejenis sahaja dan projeknya di Johor kebanyakannya dijalankan oleh sektor swasta, seperti Country Garden, dan kebanyakan dalam bidang pembangunan hartanah.

Di Kuantan pula, pelaburan utama China diketuai oleh entiti kerajaan dengan tumpuan terhadap industri dan infrastruktur.

Wilayah Autonomi Guangxi melalui syarikatnya Guangxi Beibu Gulf International Port Group Co Ltd menguasai 49 peratus pegangan dalam MCKIP. Bakinya dimiliki Kuantan Pahang Holding Sdn Bhd, sebuah konsortium Malaysia.

Seperti mana-mana pembangunan industri, infrastruktur amat penting untuk mengimport bekalan dan mengeksport produk - sama ada melalui jalan darat, air atau udara. Dua daripadanya sudah pun di bawah pengaruh China.

Pada September 2013, tujuh bulan selepas pelancaran MCKIP, Guangxi Beibu membeli 40 peratus pegangan dalam Pelabuhan Kuantan yang menghadap Laut China Selatan. Sebahagian besar laut itu kini dituntut Beijing sebagai kawasannya.

Guangxi Beibu dan rakan niaganya IJM Corp telah memulakan pelaburan RM4 bilion untuk membina terminal laut dalam yang baru (gambar bawah) di pelabuhan itu, bagi memenuhi kegiatan perindustrian yang semakin berkembang termasuklah MCKIP. Ia dijangka sedia beroperasi pada tahun depan.

Menjelang 2024, Pelabuhan Kuantan juga akan dihubungkan dengan Pelabuhan Klang di Selangor melalui projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang didanai Beijing.

Kerajaan Malaysia diberikan pinjaman dengan terma dan kadar yang memuaskan, dan sebagai pertukarannya, Beijing diberi hak memilih syarikat yang akan melaksanakan projek bernilai RM55 bilion itu.

Beijing telah melantik China Communications Construction Company (CCCC), sebuah syarikat milik kerajaan yang juga sedang cuba mendapatkan kontrak bagi Landasan Keretapi Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Seperti Pelabuhan Kuantan, ECRL juga merupakan gerbang utama bagi perindustrian di Kuantan, seperti MCKIP dan Kawasan Perindustrian Gebeng.

'China sukar dielakkan'

Pengkritik merasakan pembabitan China dalam industri dan infrastruktur di Kuantan terlalu besar dan meluas, namun mereka yang menyokong berkata Kuantan dan pantai timur secara keseluruhan, yang ketinggalan berbanding pantai barat sangat memerlukan pemacu.

Menurut Kementerian Pengangkutan, Pelabuhan Kuantan mengendalikan keseluruhan 40.03 juta tan kargo pada 2015.

Ia jauh lebih sedikit berbanding Pelabuhan Klang yang mengendalikan 219.79 juta tan kargo, dan Pelabuhan Tanjung Pelepas dengan 136.28 juta tan kargo pada tahun yang sama.

Infrastruktur keretapi industri Kuantan yang pernah beroperasi suatu ketika dulu, kini juga hanya tinggal landasannya yang usang.

Di Jalan Qinzhou menuju ke Pelabuhan Kuantan, persimpangan pertama akan menuju ke kilang pemprosesan nadir bumi Lynas, manakala persimpangan kedua akan menuju ke satu jalan yang terpacak papan tanda "Gebeng Railway Yard" di sana.

Di sana terdapatnya satu bahagian landasan keretapi Kerteh-Pelabuhan Kuantan yang kini terabai.

Landasan tunggal dengan jarak 70km itu dibina dengan dana Petronas pada 1990-an untuk menghubungkan Kawasan Perindustrian Kerteh di Terengganu dengan Kawasan Perindustrian Gebeng di Pahang. Ia menghentikan operasinya pada 2012.

Meninjau ke kawasan itu, Malaysiakini mendapati komponen logam landasan itu telah hilang, hanya tanda "Petronas" yang telah pudar dapat dilihat di saki-baki tinggalan landasannya. Bangunannya pula dalam keadaan usang.

Tidak pasti sama ada ECRL akan menghidupkan semula landasan keretapi Kerteh-Pelabuhan Kuantan sebagai sebahagian daripada jajarannya, namun peta yang dikeluarkan oleh MCKIP menunjukkan jajaran ECRL berhampiran dengan landasan tersebut.

Apabila siap, ECRL bukan sahaja menghubungkan Pelabuhan Kuantan dengan Pelabuhan Klang di Selangor, tetapi juga Terengganu dan Kelantan.

Atas sebab itulah mereka yang menyokong kehadiran China ini berkata pengaruh negara itu tidak dapat dielakkan dan akan memberikan nafas baru kepada perindustrian di Kuantan.

Namun bagi penduduk Kuantan yang bergelut lama dengan Lynas, pengaruh China bukanlah satu-satunya kebimbangan yang ada.

Trauma alam sekitar

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Lee Chean Chung berkata, kilang-kilang yang bakal didirikan di MCKIP adalah dalam sektor industri berat dan berisiko mengeluarkan bahan pencemaran pada tahap yang tinggi.

Kilang di China yang sangat mencemarkan, yang menjadi tajuk berita utama media antarabangsa sedekad lalu pula menambahkan lagi kebimbangan itu.

"Selain kilang keluli (gambar atas) yang sedang dibina di MCKIP, kami juga mendapat tahu akan ada kilang aluminium dan pembuatan bateri kereta.

"Rakyat Kuantan tidak mahu sekali lagi trauma dengan masalah pencemaran," katanya.

Tidak lama dulu, bandar itu sehingga diselimuti debu merah bagi memenuhi selera besar China terhadap bauksit - mineral utama untuk menghasilkan aluminium.

Pada 2014, Indonesia mengenakan larangan terhadap pengeksportan bauksit dalam usahanya mempromosikan pengeluaran yang mempunyai nilai tambah di negara itu.

Berhadapan kekurangan bekalan, China mengubah haluan ke Kuantan. Harga yang lumayan menyebabkan berlakunya 'kegilaan' terhadap bauksit dengan ramai petani menjual tanah ladang kelapa sawit mereka untuk kegiatan perlombongan.

Kegagalan kerajaan negeri untuk mengawalselia menjadikan kegiatan perlombongan tidak terkawal. Kerajaan pusat akhirnya terpaksa campur tangan dan mengenakan moratorium pada 2016 yang akan berlanjutan sehingga akhir tahun ini.

Moratorium itu tidak bermakna lagi apabila kilang aluminium beroperasi di MCKIP.

Lee berkata beliau tidak menentang pelaburan asing, tetapi pengalaman lalu tidak memberi keyakinan yang ia akan ditanggapi dengan baik.

"Kami mengambil berat isu alam sekitar.

"Kami juga tertanya-tanya mengapa China perlu memindahkan kilangnya ke negara lain, dan sama ada ia berkaitan dengan undang-undang yang semakin ketat di sana," katanya.

Beberapa tahun kebelakangan ini, China mengambil pendirian yang semakin tegas untuk menangani masalah pencemaran di negara itu, dengan mengurangkan penggunaan arang batu dan menutup kilang aluminium yang tidak menepati piawaian alam sekitar.

Lee berkata, Jabatan Alam Sekitar Malaysia dan badan-badan lain juga perlu mencontohi perkara itu, mengenakan piawaian yang ketat terhadap kilang yang bakal dibuka di Kuantan.

Beliau juga membangkitkan keputusan kerajaan pusat untuk menawarkan pengecualian cukai selama paling tinggi 15 tahun kepada syarikat di MCKIP.

Kerajaan perlu menimbang seteliti mungkin manfaat dan kerugian yang bakal ditanggung daripada perkara itu, katanya.

Beijing bercita-cita untuk mengembalikan zaman kegemilangan Laluan Sutera, di darat dan juga laut, melalui Inisiatif 'One Belt One Road' (OBOR). Kesannya, ekonomi Malaysia menjadi semakin terhubung dengan China.

MCKIP, ECRL dan Pelabuhan Kuantan adalah komponen strategik yang akan mengukuhkan lagi hubungan itu.

Namun dalam ketergesaan untuk menyambut kehadiran tata ekonomi baru, persoalan tentang kos dan manfaat tidak boleh diabaikan.

Jika tidak, kita bakal mengikut jejak langkah Sri Lanka, negara yang sering dijadikan contoh pengajaran tentang cita-cita besar yang tidak tercapai dan hutang yang perlu dibayar kepada 'Dinasti' itu.

Bahagian 1: Misteri ‘Tembok Besar China’ di Kuantan

Bahagian 2: Antara peniaga tempatan dan restoran tanah besar di Kuantan

MCKIP: 'Tembok' untuk kilang keluli saja, tiada pencemaran
 

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS