Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kit Siang jadi PM lebih baik dari pemimpin Umno'
Diterbitkan:  Oct 10, 2017 9:47 PM
Dikemaskini: 1:57 PM

Memandangkan pemimpin Umno terus mempersoalkan kelayakan veteran DAP Lim Kit Siang menjadi perdana menteri jika Pakatan Harapan (HARAPAN) menang pilihan raya, Zaid Ibrahim berkata mungkin ia bukanlah cadangan yang buruk.

“Kita tak henti-henti dengar tentang perkara ini. Jika mereka (pemimpin Umno) begitu 'menginginkannya' terjadi, ia mungkin idea yang baik,” katanya kepada Malaysiakini.

Ketika ditanya, bekas menteri undang-undang itu berkata beliau yakin Lim akan menjadi perdana menteri yang lebih baik berbanding sesiapa saja dalam Umno.

Beliau menjelaskan kenyataan terdahulunya di Twitter sebagai respons kepada artike Malaysiakini yang memetik menteri Umno Salleh Said Keruak dan Abdul Rahman Dahlan yang menegaskan bahawa Lim akan menjadi perdana menteri sekiranya pakatan pembangkang menang dalam pilihan raya akan datang.

“Idea yang bernas. Kit Siang akan lebih baik berbanding mereka yang telah mengkhianat kepercayaan rakyat (Great idea. Kit Siang will be better than those who abused their trust to the people),” kata Zaid dalam akaun Twitternya.

Sementara itu, Zaid, yang kini ahli DAP memberitahu Malaysiakini bahawa menteri Umno menyasarkan Lim kerana mereka kehabisan idea.

Zaid juga yakin kempen menakut-nakutkan rakyat tidak akan berkesan.

“Mereka (pemimpin Umno) tak tahu apa yang harus dilakukan. Siapa harus diserang.... (Maka) Serang Mahathir dan Kit Siang.

“Mereka ingin menutup isu mereka sendiri. Jadi ini adalah cara untuk mengalihkan perhatian,” tambahnya.

DAP sebelum ini mendakwa Umno cuba menakut-nakutkan pengundi Melayu dengan menggambarkan parti dominan Cina itu sebagai ancaman kepada kedudukan orang Melayu dan Islam.

Dengan Tun Dr Mahathir kini meletakkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebagai alternatif kepada Umno dan HARAPAN melantik beliau sebagai pengerusi, serangan terhadap DAP semakin kuat.

Pilihan raya akan datang dijangka bakal menyaksikan perebutan undi Melayu dengan pembangkang mendakwa tsunami Melayu akan terjadi untuk menenggelamkan Umno.

Pemimpin Umno sebelum ini turut berulang kali mengatakan bahawa DAP yang memegang paling banyak kerusi antara parti-parti komponen HARAPAN merupakan dalang di sebalik pakatan pembangkang itu.

Mereka mendakwa DAP merupakan pembuat keputusan dalam HARAPAN dan menuduh Mahathir sebagai boneka DAP.

[Berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS