Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tajuddin: Mahathir hilang adab selepas ‘disuntik’ darah DAP
Diterbitkan:  Oct 10, 2017 7:19 PM
Dikemaskini: 11:31 AM

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini sudah kehilangan “adab dan tatasusila sebagai orang Melayu”.

Katanya, ini selepas bekas perdana menteri itu yang kini bersama Pakatan Harapan, “disuntik dengan darah DAP”.

“Sikap Tun (Dr Mahathir) kini langsung tidak menggambarkan adab orang Melayu malah kini sudah ramai orang Melayu yang tidak beradab kerana terpengaruh dengan DAP yang kasar dan kurang ajar.

“...Mereka sudah dimasuki darah DAP sebab itu perangai tidak senonoh,” katanya yang dipetik portal Umno-Online.

Tajuddin juga berkata, Dr Mahathir akan mendapat balasan di atas segala tohmahan yang dilemparkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau mengulas kenyataan bekas perdana menteri itu yang berkata Umno ketika ini langsung tidak boleh disamakan dengan parti itu di saat memperjuangkan kemerdekaan negara dahulu.

Menurutnya, kenyataan Dr Mahathir yang memuji Tunku Abdul Rahman hanya sebagai gimik politik.

Beliau berkata sejarah menunjukkan bahawa beliau tidak pernah menyukai perdana menteri pertama itu.

“Tiada siapa yang boleh menafikan permusuhan Mahathir dengan Tunku... yang kutip Mahathir dulu adalah Allahyarham Tun Abdul Razak iaitu ayahanda kepada Najib.

“Maka Mahathir sepatutnya mengenang jasa dan bukannya mengutuk dan memalukan Najib di seluruh dunia.

“Jika adapun kelemahan dalam kepimpinan Najib seharusnya dia menegur. Tindakan Mahathir hari ini adalah sesuatu yang melampau,” katanya.

Sementara itu, Tajuddin juga mengingatkan kepada kaum-kaum lain di negara ini agar tidak berasa tercabar atau takut apabila soal kuasa orang Melayu diperkatakan.

“Kepada bukan Melayu, apabila bercakap soal kuasa orang Melayu, jangan berasa takut kerana kepimpinan pemerintahan orang Melayu Umno tidak memusuhi bangsa lain.

“Kita tidak cakap sahaja kerana ia sudah terbukti hampir 60 tahun. Umno memerintah tidak zalim dan rekod telah membuktikan pemerintahan Umno dan Barisan Nasional (BN) sangat-sangat adil terhadap kaum lain,” katanya.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS