Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ketua pemuda Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan dua pemimpin pemuda Umno negeri itu hari ini dikenakan tahanan reman selama lima hari.

Majistret Cindy Mc Juce Balitus meluluskan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Ketua Penerangan Pemuda Umno Sabah yang juga Ketua Pemuda Umno Tenom Jamawi Jaafar dan Ketua Pemuda WARISAN Mohd Azis Jamman ditahan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kota Kinabalu, semalam.

Pihak pendakwaan pada mulanya memohon tempoh reman selama tujuh hari, tetapi ditolak.

Individu ketiga, Ketua Pemuda Umno Tawau Ariffin Kassim pula ditahan di pejabat SPRM di Tawau.

Mohd Azis dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kota Kinabalu dengan lengkap berpakaian lokap berwarna jingga serta sempat menunjukkan tanda WARISAN walaupun dengan tangan yang bergari.

Dia diikuti Jawami dan Ariffin yang juga berpakaian lokap. Tidak seperti yang lain, Ariffin cuba mengelak gambarnya diambil dengan menutup mukanya dengan bertopi dan menundukkan kepala.

Sejak pagi, sejumlah 300 penyokong WARISAN berhimpun di kompleks mahkamah sebagai tanda solidariti dengan Mohd Azis dan naib presiden Peter Anthony.

Sementara itu, tempoh reman Peter dilanjutkan untuk tiga hari lagi.

"Mereka (SPRM) memohon tambahan tujuh hari tetapi (mahkamah) hanya memberikan tiga hari atas sebab keadaan kesihatan anak guam saya," kata peguam bela Martin Tommy Durasim kepada pemberita hari ini.

Jamawi kini adalah pegawai khas di Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Namun, difahamkan yang penahanan itu berkaitan dakwaan kesalahan yang dilakukan ketika dia menjadi pembantu kepada Presiden WARISAN Datuk Seri Shafie Apdal ketika Shafie menjadi menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Jamawi dikatakan telah dipindah ke Kementerian Komunikasi dan Multimedia selepas Shafie digugurkan dari kabinet pada Julai 2015.

Mohd Azis merupakan Ketua Pemuda Umno Semporna sebelum keluar parti dan menyertai WARISAN.

Dia merupakan pemimpin WARISAN terbaru yang ditahan dalam siasatan SPRM berhubung dana yang didakwa diseleweng daripada projek yang sepatutnya dilaksanakan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Shafie memegang portfolio itu sebelum dipecat ketika rombakan kabinet dua tahun lalu.

SPRM menahan naib presiden WARISAN Peter Anthony Khamis lalu, dan dikenakan reman lima hari keesokannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS