Bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim mendakwa pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Zamihan Mat Zin menghina sultan Johor.
“Pegawai Jakim dah berani hina dan mengkritik sultan.
“Berani ka Menteri Umno ambil tindakan?” soalnya di Twitter.
Pegawai Jakim dah berani hina dan mengkritik Sultan. Berani ka Menteri Umno ambil tindakan? #fb
— Zaid Ibrahim (@zaidibrahim) 10 October 2017
Tulisan itu dibuat selepas munculnya laporan hari ini yang menyebut Zamihan mengkritik Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang membidas tindakan sebuah kedai dobi di Muar yang tidak menerima pelanggan bukan Islam.
Zamihan mempertahankan tindakan kontroversi itu atas alasan orang Cina tidak suci selepas membuang air besar.
“Ada sultan kata ‘dobi mesra Muslim tak patut diadakan di negeri beta’, dan ‘ini bukan negeri Taliban…’? Tak patut Tuanku Sultan cakap macam itu,” katanya seperti dilaporkan Free Malaysia Today.
Sultan Ibrahim pada 27 September mengarahkan kedai dobi itu menghentikan dasar kontroversi itu atau berdepan risiko ditutup.
Menyifatkan langkah itu sebagai karut, baginda bertitah Johor adalah milik semua kaum dan agama serta bukan negara Taliban.
Zamihan: Saya tak takut
Sementara itu, Zamihan juga dilapor berkata beliau tidak gentar mengkritik pihak atasan termasuk sultan.
“Nak manipulasi ke, nak rakam ke, nak edit video ke, saya tak takut pun.
“Ada setengah orang dia buat video ini kepada menteri, kepada sultan, kepada raja. Silakan! Apa kita nak takut kalau kita bercakap menjunjung kebenaran?” beliau dilapor sebagai berkata.
Zamihan, yang juga pengerusi Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) turut membidas Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Zulkifli Mohamad dan Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin (atas) kerana menyokong pendirian sultan itu.
“Ertinya, mufti menyokong dobi mesra kafir. Cerdik tak cerdik?” katanya.
“Apa barang ahli Sunnah wal Jamaah, ini bukan Sunnah wal Jamaah, ini punah ranah. Pemikiran punah ranah. Inilah Ustaz Zamihan, presiden Aswaja.”
Zamihan kemudian dilapor bertanyakan sama ada hadirin di masjid tidak setuju dengan pendirian beliau, tetapi tidak mendapat reaksi.
Mengulas isu itu, Free Malaysia Today juga melaporkan Zamihan sebagai berkata, pakaian umat Islam tidak boleh bercampur dengan pakaian bukan Islam untuk memastikan kesucian ketika beribadat.
“Pakaian kita untuk kita buat ibadat, nak buat sembahyang, nak buat baca Quran, nak buat tawaf, nak buat Haji… mana boleh berlumur dengan pakaian bukan Islam.
“Cina biasa kencing berak tak basuh. Bagaimana tentang darah haid mereka, pada pakaian dalam mereka, peluk dakap anjing, minum arak, tumpah arak, makan babi, sup babi. Itu semua sinonim dengan mereka,” kata Zamihan.
'Duit Jakim pun ada sumbangan Cina'
Sementara itu, Zaid dalam reaksi segeranya petang ini memberikan perumpamaan mudah bagi menolak hujah Zamihan itu.
“Pegawai Jakim ini ada terima gaji? Duit gaji dia itu Cina juga sumbang, melalui cukai. Tak kotor ke duit Cina?” sindirnya.
“Inilah Melayu hari, malu kita dibuatnya,” tambahnya lagi.
Pegawai Jakim ni ada terima gaji? Duit gaji dia itu cina juga sumbang , melalui cukai. Tak kotor ke duit cina? #fb
— Zaid Ibrahim (@zaidibrahim) 10 October 2017
Inilah melayu hari, malu kita dibuatnya #fb
— Zaid Ibrahim (@zaidibrahim) 10 October 2017