Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Macam mana DAP jadikan Malaysia negara Kristian?

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu memberi keyakinan kepada rakyat khususnya di Pulau Pinang, tidak mungkin DAP menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Malaysia.

Mohamad atau lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu berkata hal itu kerana ia memang tidak dapat dilakukan walaupun tuduhan mengenainya terus menjadi bahan omokan Umno serta ustaz PAS.

"Adakah anda fikir mudah untuk menubuhkan negara Kristian di Malaysia?" soalnya semasa berceramah di Penanti, Seberang Perai Tengah semalam.

Pertama dan terpenting, kata Mohamad, DAP memerlukan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat untuk meminda Perlembagaan Persekutuan yang jelas termaktub menyatakan Islam adalah agama rasmi Malaysia.

Begitu juga katanya kekangan daripada raja-raja Melayu yang selama ini menjadi ketua agama Islam di setiap negeri.

Untuk meminda perlembagaan kata Mohamad sokongan raja Melayu juga dimestikan.

"Bolehkah DAP mendapat majoriti dua pertiga di parlimen?

"Katakanlah mereka boleh mendapat majoriti dya pertiga, tapi adakah anda fikir raja-raja Melayu akan bersetuju dengan cadangan itu?" katanya yag kemudian dijawab "tidak" oleh hadirin.

Azan dua kali

Jika semua itu tidak dapat dilakukan, kata Mohamad, tidak ada sebab mengapa rakyat masih termakan dengan dakyah pembohongan yang dijaja Umno dan PAS.

"Kenapa kamu pergi dan mendengar ceramah ustaz yang membuat dakwaan ini?" katanya.

Awal September lalu, Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi mengisytiharkan satu undi kepada Pakatan Harapan bererti satu undi kepada DAP yang menurut beliau ia dibayangi Evangelis Kristian dan mahu menawan negara ini.

Kenyataan itu muncul selepas gabungan pembangkang baru-baru ini mengisytiharkan PKR tidak lagi boleh berunding dengan PAS berhubung pengagihan kerusi pada pilihan raya umum akan datang.

Jun 2016 pula seorang pemimpin PAS peringkat bawahan terpaksa meminta maaf kerana mendakwa kerajaan Pulau Pinang melarang azan dikumandangkan di negeri berkenaan.

Yang Dipertua PAS Padang Serai Shaharuddin Ibrahim berkata dia tidak mahu berbalah dan memanjangkan isu itu.

Kata Shaharuddin kenyataan tersebut dikeluarkan kerana melahirkan kebimbangan terhadap sikap DAP dan sekutunya yang menentang usaha menegakkan syariat Islam di negara ini.

Sehingga kini Shaharuddin dikatakan masih memberikan kuliah di masjid dan surau di Pulau Pinang.

Pada 13 Julai lalu Malaysiakini melaporkan Pulau Pinang menggalakkan semua masjid dan surau melaksanakan azan dua kali setiap subuh.

Bercakap kepada Malaysiakini, Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Wan Noor berkata pihaknya mengeluarkan nasihat itu setelah melakukan perbincangan mengenainya selama enam tahun.

"Ia dibuat berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankusa Mufti Pulau Pinang pada 18 dan 19 April lalu.

"Jabatan Mufti meminta Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau Jaipp mengeluarkan surat kepada masjid dan surau di seluruh negeri mengenai nasihat itu," katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS